Tayangan semula PGL harap dapat pulih semangat negara - Tiara Jacquelina
Azyyati Ahmad
Ogos 28, 2014 08:00 MYT
Ogos 28, 2014 08:00 MYT
Penayangan semula filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL) sempena bulan kemerdekaan ini diharap dapat memulihkan kembali semangat rakyat Malaysia setelah berdepan dengan pelbagai tragedi sejak awal tahun ini.
Itu harapan penerbit filem PGL, Puan Sri Tiara Jacquelina selain mahu penayangan semula filem ini dapat mengingatkan rakyat Malaysia akan zaman kegemilangan Melaka suatu masa dahulu.
“Inilah masanya untuk Malaysia bangun kembali.
Saya berharap dengan penayangan semula PGL akan mengingatkan kembali betapa hebatnya kita sebagai satu bangsa dan negara sejak di zaman Hang Tuah dan kesultanan Melayu Melaka lagi. We were a great nation!” jelas Tiara sewaktu dijemput menjadi tetamu jemputan dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Bagi Tiara, ia menjadi satu tanggungjawabnya sebagai anak seni untuk menyatukan semua dan menaikkan semula semangat patriotisme dalam diri setiap yang berpeluang menyaksikan filem itu.
Filem arahan Saw Teong Hin dengan skrip nukilan Mamat Khalid itu bakal menemui peminatnya dalam format adunan semula berdefinisi tinggi pada 30, 31 Ogos dan 1 September di dua pawagam sekitar Kuala Lumpur.
Mengingati semula saat sewaktu tayangan filem itu 10 tahun lalu, Tiara akui filem terbitannya itu telah ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Pada masa itu, harapan saya dan warga kerja PGL sewaktu mahu menghasilkan filem tersebut adalah agar rakyat Malaysia datang dan menyokong filem hasil buatan orang Malaysia,
Alhamdulilah, 30 peratus daripada penonton PGL ketika itu adalah orang bukan Melayu dan ada yang baru pertama kali menonton filem Melayu” ujar Tiara.
Beliau turut mengakui semangat semua bangsa bersatu menyokong produk Malaysia semasa itu adalah momen yang sangat berharga.
Filem PGL juga telah membuka ruang kepada filem-filem Malaysia yang lain untuk bersaing di persada antarabangsa setelah kejayannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik serta merentas samudera mencipta sejarah di litar festival filem antarabangsa antaranya Venice, Bangkok dan Palm Springs.
Selain jalan ceritanya yang indah, PGL turut diingati kerana dialognya yang sangat menyentuh perasaan.
“Saya akui, bukan mudah untuk mendapatkan naskah yang baik. Lucunya, ketika Mamat diminta untuk menghasilkan skrip PGL, saya kurungnya di rumah untuk mendapatkan satu cerita cinta yang hebat” imbas Tiara lagi.
Namun kata Tiara, bukan mudah pada mulanya untuk menghasilkan filem PGL apabila beliau sendiri pada waktu itu baru kali pertama bergelar penerbit.
“Hampir semua warga produksi PGL adalah first timer.
Saya baru pertama kali menerbit ketika itu, Teong Hin juga pertama kali mengarah serta ramai lagi. Namun saya bersyukur penonton percaya dan pergi menonton PGL” jelas Tiara.
Selain menerbit, Tiara turut melakonkan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah di samping watak utama Hang Tuah lakonan M.Nasir.
Filem ini turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Adlin Aman Ramlie, Sofia Jane, Khir Rahman, Sabri Yunus, Ruminah Sidek serta pelakon Indonesia seperti Christian Hakim, Alex Komang dan Slamet Rahardjo.
Filem epik Puteri Gunung Ledang akan ditayangkan secara eksklusif di dua panggung iaitu GSC Mid Valley dan GSC Signature The Gardens dan tiket boleh dibeli secara online di Ticket Hotline.