Tarmimi pasti merindui gurauan Hail Amir
Faida Rahim
Mei 7, 2024 10:45 MYT
Mei 7, 2024 10:45 MYT
AMPANG: Pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar menganggap persahabatan yang terjalin dengan Allahyarham Datuk Hail Amir sejak tahun 70-an amat istimewa sekali.
Mengenali Hail Amir sejak zaman bujang, Ahmad Tarmimi dalam nada sebak memberitahu, Allahyarham merupakan individu yang disayangi ramai sahabat.
“Sejak tahun 1970 saya kenal arwah… dari zaman bujang lagi. Arwah sangat mudah didekati dan disayangi ramai.
“Bila sudah berkahwin, masing-masing bawah haluan sendiri tetapi sesekali bertemu dalam program di luar.
“Sejak tahun lalu, Hail sudah tak boleh memandu dah keadaan agak lemah. Dia ada penyakit jantung dan buah pinggang tetapi tidak lah serius,” katanya ketika ditemui media di Masjid Ukay Perdana, di sini, hari ini.
Seniman berusia 74 tahun ini juga berkata, beliau pasti akan merindui gurauan bersama sahabatnya yang kini telah pergi selamanya.
“Saya sedih kerana tiada lagi gurau kasar macam dulu. Hail telah pergi, tak tahu giliran saya pula. Alhamdulillah dia pergi dengan mudah.
“Semoga Allah SWT terima amalan Allahyarham Hail dan ditempatkan bersama golongan beriman,” kata pelakon veteran itu menahan air mata.
Allahyarham Hail Amir yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, sekitar pukul 11 pagi ini.