Tanda Putera ditayang secara tertutup buat peneroka Felda
Astro Awani
Februari 19, 2013 22:38 MYT
Februari 19, 2013 22:38 MYT
Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, "Tanda Putera" ditayang secara tertutup kepada 3,000 peneroka Felda, pada Isnin.
Tayangan filem itu adalah atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sesi tayangan turut disertai mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena majlis "Warga Felda Bersama Negarawan Ulung".
Berita mengenai tayangan istimewa itu diumum Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di dalam ucapannya.
Namun, anggota media yang hadir ke majlis di Pusat Dagangan Dunia Putera itu diiring keluar sebelum tayangan bermula pada pukul 1 tengahari.
Naskah biografi itu mengetengahkan hubungan rapat Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail.
Sehingga kini, tarikh sebenar "Tanda Putera" masih kabur selepas dua kali ditunda iaitu pada 13 September dan 15 November lalu.
"Tanda Putera" dijayakan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim.