"Tan Sri nak masuk Gegar Vaganza?" Annuar Musa 'tunjuk bakat' nyanyi lagu P. Ramlee

Hasimi Muhamad
Mac 23, 2022 13:46 MYT
Tan Sri Annuar Musa (kanan) menjadi tetamu khas dalam program MeleTOP yang disiar secara langsung, pada malam Selasa. - Foto: Video Instagram MeleTOP
DALAM arena politik negara, nama Tan Sri Annuar Musa bukan sesuatu yang asing.
Malah, siapa sangka Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turut memiliki 'bakat terpendam' termasuk dalam bidang nyanyian.
Bakat dimiliki Ahli Parlimen Ketereh itu terserlah ketika beliau menjadi tetamu istimewa dalam program MeleTOP yang disiarkan secara langsung pada malam Selasa.
Menerusi segmen khas battle, Annuar dan pengacara, Nabil Ahmad dikehendaki meneka tajuk lagu hasil karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Segmen khas tersebut sebagai memperingati jasa dan sumbangan lagenda negara itu dalam industri filem dan muzik tanah air, dan juga bersempena dengan hari kelahiran Allahyarham P. Ramlee pada 22 Mac.
Pada pusingan pertama segmen yang dikendali oleh pengacara, Sherry Alhadad, Annuar berjaya meneka tajuk lagu Getaran Jiwa melalui alunan muzik yang dimainkan oleh kumpulan Caliph Buskers.
Annuar kemudian secara bersahaja menerima pelawaan Nabil dan Sherry untuk menyanyi lagu tekaannya itu.
Tidak hanya 'belanja' pada lagu pertama, Annuar yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar sekali lagi menyanyikan bait-bait lagu Jeritan Batinku selepas berjaya meneka lagu tersebut.
"Tan Sri berminat tak nak masuk Gegar Vaganza? Saya rasa Tan Sri memiliki suara (yang merdu) dan berpotensi... dan saya rasa Tok Ram (Datuk Ramli MS) akan bagi markah penuh," seloroh Nabil sebaik mendengar nyanyi tersebut.
Annuar kemudian secara berjenaka menjawab: "Vaganzanya tidak jadi, hanya gegar sahaja la..."
Dalam masa yang sama, Annuar turut merakamkan penghargaan kepada para penggiat seni sempena Hari Seniman.
"Teruskan mainkan peranan masing-masing untuk kita sama-sama bangunkan Keluarga Malaysia dan menjadi sebuah negara yang sama-sama kita banggakan.
"Peranan semua seniman amat kita hargai" katanya.
Pada 29 Mei 2008, bekas Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim mengumumkan 29 Mei sebagai Hari Seniman sempena pemergian Allahyarham P. Ramlee iaitu pada 29 Mei 1973.
#Tan Sri Annuar Musa #Meletop #hiburan Malaysia #Hari Seniman
;