Tampil awet muda bak anak dara, ini rahsia penampilan Sheila Majid tak makan dek usia

Rapi
Julai 15, 2023 18:26 MYT
Mahu sihat bersama keluarganya, Sheila menekankan pengambilan makanan sihat. -Rapi
DATUK Sheila Majid masih cantik dan kekal dengan badan kecil moleknya.
Macam tak sangka lagi tiga tahun, beliau bakal menginjak ke usia 60 tahun.
Ratu Jazz ini sentiasa tampil awet muda bak anak dara.
Nah, ini kami kongsikan tip beliau:
1. Sentiasa bersenam
Sheila pernah mendedahkan beliau sentiasa bersenam walaupun pada usianya yang lebih separuh abad.
Ujarnya antara senaman yang diamalkan adalah larian di treadmill dan pilates.
2. Tiada sarapan pagi yang berat
Seterusnya, Sheila turut memberitahu bahawa beliau tidak pernah mengambil makanan berat atau sarapan yang berlebihan.
Kebiasaannya, ibu kepada empat anak ini akan makan yogurt bersama secawan kopinya dan buah-buahan.
Untuk pengetahuan anda, yogurt mengandungi probiotik iaitu bakteria sihat yang terdapat secara semula jadi dalam saluran penghadaman wanita yang boleh meningkatkan fungsi pencernaan yang baik.
3. Amalkan makanan yang sihat bersama keluarga
Mahu sihat bersama keluarganya, Sheila menekankan pengambilan makanan sihat.
Ujarnya beliau sekeluarga tidak kerap dan amalkan minuman bergas, sebaliknya hanya minum air kosong dengan cukup untuk kesihatan mereka.
“Ibu saya adalah idola dalam banyak benda termasuklah dari segi penyediaan makanan berkhasiat dan bernutrisi.
"Saya amalkan perkara yang sama untuk keluarga. Hanya sekali sekala saja saya benarkan anak-anak menikmati makanan ringan.”
4. Tak biarkan solekan terlalu lama di wajah
Untuk mengekalkan wajah sentiasa awet muda dan kurangkan tanda penuaan, Sheila mendedahkan beliau tidak akan membiarkan solekan di wajah berada terlalu lama.
Sekiranya habis sahaja kerjanya, beliau akan cuci dengan segera.
“Setiap hari saya amalkan rutin penjagaan kecantikan secara sederhana tetapi konsisten.
"Saya lakukan rawatan wajah di spa sebulan sekali kerana saya sering bersolek tebal untuk sesi fotografi dan pertunjukan.”
Antara produk yang Sheila titik beratkan setiap kali rutinnya adalah pelembap dan sunscreen kerana kedua-dua produk ini berkesan dalam memberikan kelembapan kulit yang berkesan dan melindungi kulit daripada kerosakan. -Rapi
#sheila majid #Ratu Jazz #Yogurt #awet muda
;