Takluk: Lahad Datu bukan sembarangan, filem aksi hebat
Maliah Surip
Ogos 24, 2024 15:00 MYT
Ogos 24, 2024 15:00 MYT
DUDUK di kerusi panggung wayang dan kemudian dihidangkan dengan sebuah plot cerita yang membuat anda terpegun dengan beragam emosi saat menonton sesuatu naskhah meski ia tidak populis adalah sebuah kejayaan besar buat seluruh tenaga produksi yang sudah bertungkus lumus.
Sebuah naskhah hebat
Bukan hanya tarikan barisan pelakon yang menjayakan naratif filem ini tetapi bagaimana seorang pengarah dapat mengawal keseluruhan naskhah tanpa berlebihan kerana punya unsur ‘fiksyen’ serta permainan kamera dan semua kerja produksi yang membawa penonton masuk ke dalam terowong masa kejadian itu adalah lebih penting dari semua tentang ‘pelacuran’ yang selalu terjadi dalam karya seni.
Inilah ciri-ciri penting yang ada dalam filem arahan Zulkarnain Azhar, Takluk: Lahad Datu yang mula menakluk pawagam seluruh negara sejak 22 Ogos lalu.
Takluk: Lahad Datu yang dibarisi antaranya oleh Eman Manan, Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani Zaini, Josiah Hogan ini diinspirasi daripada kisah benar yang terjadi di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.
Pada ringkasnya filem yang skrip ditulis Zulkarnain dan Peter Toyat ini mengangkat perjuangan wira negara dalam menentang musuh dan mempertahankan negara dalam krisis pencerobohan Lahad Datu yang menggemparkan negara pada 2013.
Adrenalin yang penuh debar
Lebih dua jam dipertontonkan, hanya sekitar 10 minit masa penonton dicuri untuk babak-babak klise yang perlu ditonjolkan untuk membentuk sebuah penceritaan visual di layar perak.
Selebihnya, Takluk: Lahad Datu membawa penonton masuk ke ’lokasi’ kejadian daripada ladang kelapa sawit di Lahad Datu sehingga ke Kampung Air di Semporna — yang kedua-duanya adalah tempat asal kejadian dengan adrenalin yang penuh debar.
Aksi tembak-menembak dan perang yang ditonjolkan sangat kemas. Peluru keluar satu persatu dan bunyinya ‘berdesup’ tidak diperdengarkan keterlaluan.
Lokasi tidak di’make up’ menjadi tempat penggambaran sehingga menghilangkan momentum sebenar seperti krisis terjadi.
Dan tentu sahaja pergerakan kamera pada babak-babak aksi dengan pemilihan gred warna pada filem ini menjadi nilai tambah Takluk: Lahad Datu sebagai filem aksi yang menipu penonton dengan label ‘aksi’ tetapi terlalu banyak kosmetik di sebaliknya.
Setiap watak dibawa dengan baik
Satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan juga bagaimana setiap pelakon tidak saling membunuh karakter masing-masing kerana mahu menjadi ‘wira’.
Malah mereka dilihat seperti bukan berlakon tetapi benar-benar menghayati ‘roh’ seorang wira yang sedang mempertahankan negara dengan sepenuh jiwa dan raga.
Setiap watak dibawa dengan cukup baik. Karakter sang pemberontak, Raja Iskandar tentu sahaja cemerlang tanpa ampun di tangan pelaku seni dihormati, Eman Manan.
Meski tidak mendominasi babak, namun kemunculan Eman yang membawa watak punca ‘peperangan’ tercetus cukup besar impaknya.
Jika ada yang berasa pelakon itu atau aktor ini tidak layak membawa karakter yang dibentang dalam Takluk: Lahad Satu, sila simpan sahaja pandangan tersebut.
Hadir menonton dahulu filem ini kerana anda akan terlupa siapa yang lebih layak dijadikan tokoh-tokoh naskhah inspirasi di Takluk: Lahad Datu kerana barisan pelakon memberi jiwa dan raga mereka menjayakan filem ini sebagai satu bukti nyata secara komersial tentang sejarah peperangan yang pernah terjadi di Malaysia terutama di zaman moden.
Meski ironi Takluk: Lahad Datu hanya mengangkat sebahagian sisi peperangan yang terjadi tanpa memasukkan banyak elemen dan campur tangan pihak lain termasuk tentera, usaha produksi harus menerima kredit.
Dan saya patut berhenti di sini dan tidak berniat mengulas panjang apabila lagi berkaitan teknikal kerana itu bukan kepakaran hakiki saya.
Tapi sebagai penonton, saya seru rakyat Malaysia tolonglah pergi menonton Takluk: Lahad Datu.
Filem ini perlu dibanggakan, dihebahkan dan jangan malu memberitahu kepada seluruh dunia bahawa Malaysia punya karyawan seni dengan hasil yang bertaraf antarabangsa.
Juga saya ulang sekali lagi, terpaling penting adalah Takluk: Lahad Datu benar-benar meresapkan nilai patriotisme tanpa melacurkan sejarahnya dengan kosmetik kerana melariskan sebuah naskhah yang digelar filem.
Tahniah Zulkarnain dan seluruh tim produksi atas dedikasi terhadap pekerjaan menghasilkan Takluk: Lahad Datu. -- Gempak