''Takkan nak bagi orang Melayu je faham'' - jawab Yuna bila netizen suruh cakap Melayu
Kohilah Sekaran
Mac 11, 2016 17:57 MYT
Mac 11, 2016 17:57 MYT
“Takkan nak bagi orang Melayu je faham,” itu lah jawapan penyanyi tanah air yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna kepada seorang netizen yang meminta dia bertutur Bahasa Melayu.
Menerusi laman Twitter, seorang pengguna media sosial bernama, Khuzairium meminta Yuna bercakap Bahasa Melayu di media sosial kerana sering menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualannya.
“Hai @yunamusic, awak asyik speaking je, cer cakap melayu sikit,” kata Khuzairium.
Sebagai balasan soalan itu, Yuna berkata, dia bertutur dalam bahasa Inggeris agar peminat dari seluruh dunia memahami apa yang disampaikannya.
Lebih menarik, penyanyi berusia 25 tahun itu membalas kenyataan berkenaan denggan menggunakan loghat Perak.
“Te speaking le bior deme 1dunia paham. takkan nak bg oghang melayu je paham. kene le share kamu ni pon kdekut benor!” jawab Yuna dalam dialek daerah Bota.
Pada Februari lalu, Yuna mengeluarkan satu lagu kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa, Usher.
Penyatuan mereka dalam lagu Crush itu dikatakan sangat indah dan berjiwa.
Lagu ini muncul selepas single, Places To Go, yang dimuat naik di laman YouTube menerusi saluran YouTube rasmi Yuna iaitu YunaVEVO.
Album baru berjudul Chapters itu bakal menemui peminat pada 20 Mei 2016.