Takdir pertemuan Engku Emran dengan tiga wanita hebat
Astro Awani
September 25, 2023 08:40 MYT
September 25, 2023 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika kisah peribadinya hangat didebatkan di media massa dan alam maya, Engku Emran Engku Zainal Abidin memilih berkongi rasa besar hatinya kerana sepanjang perjalanan hidupnya beliau ditakdirkan bertemu dengan tiga wanita hebat.
Ketiga-tiga wanita dimaksudkan beliau ialah tiga personaliti wanita yang pernah bergelar suri hatinya iaitu Erra Fazira dan Laudya Cynthia Bella dari Indonesia serta isterinya ketika ini, Noor Nabila.
Dalam hantaran di akaun di Instagram, Emran berkata, ketiga-tiga wanita membawa makna dan erti dalam kehidupannya.
"Saya selalu bertanya kepada Allah, kenapa Dia menemukan saya dengan tiga orang-orang hebat yang pernah menjadi menantu Mummy.
"Saya tak pernah keluar mencari mereka atau merancang untuk mengahwini mereka, namun mereka hadir ke dalam hidup saya dalam proses kerja dan jatuh cinta.
"Seorang daripada mereka (Erra) berikan seorang cahaya mata. Seorang lagi (Bella) perkenalkan saya kepada orang-orang hebat di Indonesia dan menunaikan haji bersama saya.
"Dan seorang lagi (Nabila), menjadikan saya anak yang lebih baik untuk Mummy. Jadi, itu semua takdir pertemuan kami," kata Emran dalam hantaran itu.
Dalam masa sama, Emran memaklumkan, dia berada dalam keadaan baik walaupun namanya kini dihambat kontroversi pergolakan rumah tangga bersama Noor Nabila dan dikatakan bakal bercerai.
"Saya terima banyak mesej daripada orang luar, kawan-kawan, rakan sekerja dan keluarga yang bertanyakan sama ada saya okay.
"Saya tahu anda semua risaukan keadaan saya mengenai 'sampah-sampah' yang bertebaran di alam siber. Saya tahu, ia kadang kala tak dapat dielakkan kerana cerita-cerita ini muncul tanpa anda cari.
"Apapun, saya ingin maklumkan bahawa saya okay dan begitu juga Aleesya," tulisnya.
Aleesya atau nama sebenarnya Engku Aleesya ialah cahaya mata tunggal Emran hasil daripada perkahwinannya dengan artis ternama Erra Fazira.
Engku Emran dan Erra Fazira bernikah pada 25 Oktober 2007 sebelum bercerai pada 18 Februari 2014.
Lelaki berusia 48 tahun itu juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella selama dua tahun, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Dalam hantaran sama, Emran juga berkongsi mengenai kerinduan beliau pada ibunya, Allahyarham Salmah Abu Bakar.
"Seperti yang selalu saya beritahu Mummy (ibu), kita tak dapat kawal orang menulis apa-apa mengenai kita, tapi, kita boleh kawal apa yang kita baca.
"Satu rahmat apabila Mummy tidak lagi dapat membawa cerita-cerita itu kerana dia sudah tidak ada, sebab saya tahu, dia akan sangat kecewa kalau masih ada dan membaca mengenainya.
"Sepanjang hayat Mummy, dia sentiasa membantu mereka yang memerlukan dan menyelamatkan banyak nyawa kerana dia pernah bekerja dalam bidang kesihatan," katanya.
Minggu lalu, media tempatan melaporkan, Noor Nabila mengumumkan, dia dan Engku Emran bakal bercerai dalam waktu terdekat selepas gagal menyelamatkan rumah tangga mereka yang dibina pada 19 Mac 2021.