"Tak terdetik pun nak bersara" - Ella
Gempak
Mac 13, 2023 22:54 MYT
Mac 13, 2023 22:54 MYT
Ratu Rock negara, Ella tampil menjawab persoalan mengenai tindakan memadamkan kesemua hantaran di akaun Instagramnya kecuali ucapan terima kasih kepada peminat.
Menurut Ella, disebabkan itu juga ramai yang salah faham sehingga ada yang membuat spekulasi bahawa dirinya mahu bersara.
“Saya tidak pernah terdetik pun nak bersara. Jadi bila ada pertanyaan seperti itu saya rasa sedih.
“Sekarang saya tahu, rasanya mungkin sekarang bukan masanya untuk bersara,” katanya ketika ditemui Gempak.
Dalam pada itu, Ella juga menjelaskan tindakannya itu tiada kaitan dengan gimik konsert sebaliknya hantaran ikhlas untuk menzahirkan rasa terima kasih bersempena ulang tahun ke-35 dalam industri muzik.
“Sebenarnya ramai sangat yang bertanya, ada beratus-ratus dan beribu komen. Ada yang minta jangan tinggalkan kerana membesar dengan lagu-lagu saya.
“Sebenarnya saya tiada niat apa-apa semasa memadamkan gambar, sebaliknya ingin mengucapkan terima kasih seikhlas hati kepada peminat.
“Kebiasaannya kita hanya skrol saja perkongsian terbaharu yang dimuat naik, jadi bila hanya tinggal satu saja hantaran, sekurang-kurangnya mereka akan baca apa yang saya ucapkan.
“Saya ingin peminat tahu yang saya cukup menghargai mereka yang memberikan sokongan hingga saya bertahan sampai sekarang.
“Tiada kaitan dengan penganjuran konsert atau apa-apa. Ucapan terima kasih saya ini sangat istimewa untuk peminat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ella bakal tampil dengan Konsert 35 Tahun - Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.