“Tak sangka Allah beri saya peluang bantu” - Siti Nurhaliza sebak bercerita baju raya anak Gaza

Gempak
Mac 23, 2024 16:30 MYT
Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dapat menahan sebak apabila terkenang mengenai keadaan nasib anak-anak di Palestin. - Foto Gempak
PENYANYI kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dapat menahan sebak apabila terkenang mengenai keadaan nasib anak-anak di Palestin.
Siti sewaktu siaran langsung baru-baru ini pada mulanya sedang bercerita mengenai bantuan dan juga baju raya yang diberikan kepada anak-anak Gaza.
Namun di pertengahan jalan, Siti tiba-tiba berasa sebak dan menangis.
“Untuk belikan pakaian buat anak-anak di Rafah untuk menyambut raya nanti dan diberitahu kita dapat bantu beri makan setiap hari.
“Tak boleh kalau cakap pasal Gaza ni memang… Kita dapat bagi makan lebih 10,000 orang, satu keluarga ada dalam empat, lima orang.
“Sedih sebab saya tak sangka Allah beri peluang untuk saya, suami bantu orang orang Gaza. Lebih daripada 10,000 orang yang mana sempat kami bagi.
“Sebab itu saya dan suami akan cuba sedaya upaya, kalau boleh kumpul dana kita kumpul dana secukupnya,” ujarnya sebak.
Siaran langsung itu dimuat naik kembali menerusi hantaran di sebuah akaun bernama @kick_kapoor8989.
"Alhamdulillah, duit konsert baru-baru ini disalurkan ke tabung bantuan fakir miskin dan Gaza.
“Tahniah yang hadir konsert Siti, duit itu untuk fakir miskin dan rakyat Gaza,” coret akaun tersebut.
Terdahulu, Siti baru sahaja selesai melangsungkan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac lalu.
Difahamkan, sebahagian kutipan jualan tiket konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskan Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, itu akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.
*Artikel asal yang disiarkan di Gempak
#Siti Nurhaliza #anak-anak Gaza #baju raya #anak Palestin
;