Tak sampai sehari, lagu tema #HeroSeorangCinderella duduki tangga pertama iTunes

Gempak
Jun 3, 2017 08:19 MYT
Menurut Fattah, kejayaan lagu tema drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu juga banyak dibantu dengan sambutan terhadap drama itu yang dilakonnya bersama Fazura yang kini mula menjadi fenomena.

TIDAK sampai sehari lagu Cinderella nyanyian Fattah Amin dan Fazura dijual secara digital di iTunes Malaysia, ia terus menduduki tangga pertama dalam carta jualan di medium muzik itu, hari ini.

Fattah ketika dihubungi berkata, dia tidak menjangkakan lagu itu mendapat sambutan sebegitu walaupun yakin ia akan diterima ramai.
Dalam carta berkenaan, Cinderella berjaya mengenepikan beberapa lagu artis antarabangsa antaranya Despacito nyanyian Luis Fonsi, Daddy Yankee dan Justin Bieber, Shape Of You (Ed Sheeran) dan Something Just Like This (The Chainsmokers dan Coldplay).

Menurut Fattah, kejayaan lagu tema drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu juga banyak dibantu dengan sambutan terhadap drama itu yang dilakonnya bersama Fazura yang kini mula menjadi fenomena.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengarah, Michael Ang yang sudi memilih dan menjadikan Cinderella sebagai lagu tema drama itu,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Fattah berkongsi rasa terima kasih menerusi laman Instagram miliknya.
“Terima kasih kepada semua yang memuat turun OST #HeroSeorangCinderella. Ingat, katakan tidak kepada cetak rompak. Sokonglah industri seni dan hiburan tanah air kita,” tulisnya.
Cinderella adalah ciptaan penyanyi dan komposer, Aizat Amdan yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu Wanita Terakhir nyanyian Fattah.

#Fattah Amin #Fazura #Hero Seorang Cinderella
;