Tak sampai 48 jam, Temberang Ayda Jebat trending no 1 di YouTube

Gempak
Disember 23, 2018 20:00 MYT
Temberang baru sahaja dilancarkan di saluran YouTube milik Ayda pada jam 9 malam, 21 Disember lalu.
TIDAk sampai 48 jam dilancarkan, muzik video single terbaru dendangan penyanyi Ayda Jebat, Temberang berjaya menduduki tangga pertama carta trending di YouTube Malaysia.
Temberang baru sahaja dilancarkan di saluran YouTube milik Ayda pada jam 9 malam, 21 Disember lalu.
"Sejujurnya, saya tak sangka Temberang berjaya menduduki carta teratas trending YouTube dengan begitu cepat. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana single terbaru saya mendapat maklum balas positif biarpun baru sahaja dilancarkan.
"Respon yang baik ini akan saya gunakan sebagai penguat semangat untuk menghasilkan produk berkualiti demi semua peminat, terutamanya AJScreamer," kata Ayda.
Tampil dengan lagu rancak selepas dua lagu balada, Pinjamkan Hatiku dan Bagaikan Pelangi, Ayda berkolaborasi bersama Hael Husaini dan Ezra Kong.
"Lagu ini sudah hampir dua tahun disimpan. Saya memang menanti waktu yang sesuai untuk melancarkan Temberang dan memastikan muzik video siap dahulu sebelum single dilancarkan.
"Lagu Temberang menampilkan irama pop yang mengandungi sedikit elemen dangdut dan muzik timur tengah. Saya berharap lagu ini boleh diterima semua penggemar muzik dan mendapat tempat di hati peminat, Insya-Allah," katanya penuh optimis.
Setakat ini, muzik video Temberang mendapat hampir 375,000 tontonan serta 18,000 likes.
Muzik video ini turut menampilkan dua orang pelakon kacak, JC Chee dan Sean Lee.
Versi digital lagu ini bakal dilancarkan secara rasmi menerusi semua pelantar digital bermula 28 Disember depan.
#Ayda Jebat #Malaysia #pelakon #penyanyi #Temberang #YouTube
;