Tak sampai 100 peserta, uji bakat Simon Cowell 'sendu'

Agensi
Julai 9, 2024 18:57 MYT
Cowell berhasrat untuk mencipta bintang baharu seperti One Direction. - Reuters
USAHA penerbit, Simon Cowell untuk mencungkil bakat kumpulan lelaki atau boyband seterusnya, dengan niat untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai kejayaan One Direction, tidak bermula dengan baik.
Program terbaharu mogul muzik itu akan ditayangkan dalam siri Netflix baharu berjudul The Midas Touch.
Iklan berkaitan uji bakat oleh juri Britain's Got Talent terpampang di banyak billboard gergasi, berbunyi “Simon Memerlukan Anda. Bintang mega masa depan dikehendaki untuk kumpulan lelaki baharu.”
Tetapi di sebalik promosi secara besar-besaran, kehadiran peserta untuk uji bakat pada hujung minggu lalu di Liverpool adalah kurang memberangsangkan.
"Peserta mula datang pada 9 pagi pada hari Sabtu, tetapi barisan tidak pernah melebihi 40 orang. Menjelang tengah hari, jumlahnya berkurangan, dan keadaan sama pada hari Ahad.
"Jumlah pagar yang diletakkan menunjukkan mereka menjangkakan ratusan akan hadir, tetapi jumlah peserta yang hadir sangat sedikit," kata sumber.
Bagaimanapun, uji bakat akan diteruskan di Dublin akhir bulan ini dan tiga sesi uji bakat juga akan diadakan di London pada Ogos.
Cowell berkata bahawa sejak One Direction, "tidak ada boyband yang benar-benar berjaya," satu kenyataan yang tidak dipersetujui ramai berdasarkan kejayaan kumpulan dari Korea Selatan seperti BTS dan Seventeen.
"Pada masa ini, syarikat rakaman tidak mengambil bakat baharu yang mencukupi.
“Jumlah artis UK yang menembusi pasaran dunia telah menurun dengan ketara disebabkan oleh persaingan yang tinggi.
"Kumpulan baharu tidak akan datang mencari syarikat rakaman; anda perlu keluar dan mencari mereka. Jadi itulah yang kami lakukan,” kata Cowell kepada Daily Mail.
#simon cowell #One Direction #kumpulan lelaki #The Midas Touch #Uji bakat
;