'Tak rasa sebab bukan usaha anda...' - Azhan Rani terkilan Khunsa jadi mangsa cetak rompak

Gempak
Mac 30, 2024 12:37 MYT
Azhan berasakan usaha dan penat lelah penggiat seni menghasilkan karya terbaik seolah-olah tidak dipandang serius. -Gempak
PELAKON Azhan Rani meluahkan rasa terkilan apabila drama Khunsa menjadi mangsa cetak rompak.
Azhan menerusi akaun Instagramnya telah menegur sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang tanpa rasa malu menonton hasil karya penggiat seni secara haram menerusi aplikasi Telegram.
“Kalau tengok dekat Telegram tolonglah jangan bagitau kami. Siaran di Telegram ini cetak rompak, siaran tanpa izin.
“Penggambaran kami untuk hasilkan Khunsa tak mudah. Dari November tahun lepas sampai hari ini pun masih tak selesai lagi,” luahnya.
Usaha penggiat seni umpama tidak dipandang serius
Dalam pada itu, Azhan juga merasakan usaha dan penat lelah penggiat seni menghasilkan karya terbaik seolah-olah tidak dipandang serius.
“Macam-macam cabaran dan rintangan yang kalau diceritakan pun bukan orang nak kisah pun. Beritahu kami anda tonton di Telegram hanya melukakan hati dan perasaan kami.
“Usaha dan penat lelah kami sangat tak berbaloi. Ya, anda tak rasa sebab bukan usaha dan kerja anda pun yang dirompak.
“Tapi jika ada kesedaran dan kemanusiaan cubalah fikirkan jika dibalikkan pada diri sendiri suatu hari nanti. Maaf saya tegur,” tulisnya.
Untuk info, cetak rompak digital adalah tindakan memuat turun, menggunakan, menstrim atau mengedarkan bahan hak cipta dan harta intelek tanpa kebenaran atau bayaran bagi kandungan tersebut.
Cetak rompak digital adalah satu bentuk kecurian dan ini termasuk penstriman kandungan yang tidak dibenarkan seperti filem, muzik, buku dan permainan melalui laman web cetak rompak atau ISD.
Sebarang bentuk cetak rompak, termasuk cetak rompak digital adalah jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang.
Sinopsis Khunsa:
Khunsa mengisahkan kehidupan Wan Jusoh yang tidak boleh menerima takdir dengan kelahiran anak bongsunya sebagai khunsa telah memilih untuk membesarkan anaknya itu sebagai seorang lelaki.
Namun, Che Khun membesar dan cenderung kepada sifat kewanitaan menjadikan Wan Jusoh marah dan sering memarahinya.
Kehadiran Zaiton yang kini menjadi ibu tiri kepada mereka sering memperlakukan mereka dengan teruk.
Pelbagai cabaran dan rintangan yang berlaku sepanjang Che Khun membesar sehingga dewasa dek kerana kesalahan bapanya yang menentukan jantinanya secara membabi buta.
Khunsa dilakonkan oleh Azhan Rani, Sherry Alhadad, Farah Ahmad, Nadia Aqilah dan ramai lagi.
Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu mula ditayangkan pada 11 Mac 2024 setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan On Demand. -Gempak
#Telegram #Azhan Rani #Cetak rompak #penat lelah penggiat seni
;