Tak rancang tayang biseps, anggota bomba 'sado' terkejut aksi tular
Faida Rahim
September 6, 2022 23:41 MYT
September 6, 2022 23:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kali keempat menyertai perarakan Hari Kebangsaan, Timbalan Penguasa Balai Bomba Rawang, Yusaimi Zulkifli mengakui terkejut menerima reaksi luar biasa penonton yang hadir di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu.
Kongsi Yusaimi, pada awalnya dia bersama 18 anggota bomba bertubuh tegap yang lain tidak merancang melakukan aksi menayang otot biseps di atas trak yang kemudian tular di media sosial.
“Masya-Allah, saya rasa ini satu kenangan yang tak boleh dilupakan. Bila tengok wajah penonton gembira melihat kami di atas trak, kami pun ikut teruja. Sebenarnya tak rancang untuk buat aksi yang tiba-tiba viral.
“Kepada yang suka persembahan kami, terima kasih diucapkan. Sokongan anda amat kami hargai,” jawabnya ringkas.
Yusaimi dan 15 anggota bomba dari Balai Bomba Rawang muncul sebagai tetamu dalam program MeleTOP yang bersiaran di saluran Astro Ria, malam ini.
Lebih menarik, kesemua anggota bomba yang muncul ke rancangan itu tadi membuat kejutan untuk pengacara jemputan MeleTOP, Hawa Rizwana yang menyambut hari jadi ke 27, esok.