Tak pernah bercinta, Redza Rosli terus ajak Bella Hanna beli cincin dan lamar
Gempak
Jun 22, 2024 14:24 MYT
Jun 22, 2024 14:24 MYT
TIDAK pernah menjalinkan hubungan cinta, pelakon Redza Rosli mendedahkan dia tergerak hati untuk melamar aktres Bella Hanna sebagai isterinya ketika mereka keluar makan dua bulan lalu.
Berkongsi mengenai perkara itu, Redza memberitahu dia mengajak Bella ke kedai emas untuk membeli cincin sebelum masing-masing meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hati.
Terus ajak
"Kami dah lama kenal, tiada tunang terus nikah. Kami pun tak pernah isytihar kami bercinta. Satu hari saya ajak dia pergi makan tapi waktu itu niat saya sudah lain.
"Saya terus ajak dia pergi beli cincin dan pada waktu itulah kami meluahkan perasaan di antara satu sama lain.
"Insya-Allah saya yakin Farhana Nabila (Bella) terbaik untuk saya," katanya kepada Gempak.
Redza berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai majlis pernikahannya bersama Bella di Forest Valley, Cheras, Selangor pada Jumaat.
Redza sah bergelar suami kepada Bella atau Farhana Nabila Rosman, 28, dengan sekali lafaz dan pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Rosman Abdullah.
Dalam pada itu, Redza mengakui dia sebenarnya tidak gemar keluar temu janji secara berdua-duaan dengan Bella yang juga hos program Hlive itu.
Bagaimanapun jika keluar bersama dia akan memastikan melaporkan semua gerak geri mereka kepada bapa Bella.
“Saya tidak suka temu janji berdua-duaan, selalunya saya terus ke rumah mak ayah dia minta izin.
"Walaupun ajak pergi makan berdekatan kawasan rumah pun saya akan minta izin dan restu. Saya sendiri akan update ayah dia ke mana kami pergi setiap masa,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan bulan madu, Redza berhajat membawa isterinya menunaikan umrah apabila urusan kerja selesai.
Manakala soal anak pula, dia menyerahkan perkara itu kepada kuasa Allah. Perancangan bulan madu buat masa sekarang tidak bersempatan sebab jadual kerja saya yang padat.
"Saya buat persiapan pernikahan ini pun ketika sibuk menjalani penggambaran malah kursus kahwin pun saya pergi masa cuti bulan lalu.
"Insya-Allah saya nak bawa isteri tunai umrah sebab kena berterima kasih pada Allah yang memudahkan urusan pernikahan kami dan anak kami serahkan pada rezeki," katanya.
*Artikel disiarkan di Gempak