Tak mampu berjauhan dengan anak, Scha sanggup tolak tawaran berlakon

Gempak
Disember 6, 2014 08:49 MYT
Tak Mampu Berjauhan Dengan Anak, Scha Sanggup Tolak Tawaran Berlakon - Gambar Astro Gempak
Pelakon Scha Al Yahya akui sanggup menolak tawaran berlakon yang memerlukan dia berjauhan dengan anak kesayangannya, Lara Alana.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata buat masa ini dia mahu menghabiskan masanya bersama Lara yang baru berusia empat bulan.
"Setakat ini, saya memang tidak ambil tawaran yang berlakon yang memerlukan saya ‘outstation’ kerana Lara masih kecil.
"Dia baru berusia empat bulan dan masih lagi memerlukan perhatian. Saya sebagai ibu juga rasa tidak elok untuk tinggalkan Lara lama-lama.
"Kalau ada pun saya tetap akan bawa Lara bersama, tak sampai hati nak tinggalkan dia," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama bersiri ‘3 Campur 2’ bertempat di Souled Out, Ampang.
Si comel Lara Alana kini berusia empat bulan - Gambar Astro Gempak
Dalam pada itu, mengulas mengenai kehidupannya setelah bergelar ibu, Scha memberitahu dia kini perlu bijak untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
"Saya akui bila saya balik kerja kadang-kadang Lara dah tertidur, tiba-tiba akan timbul satu perasaan kesian apabila tinggalkan anak untuk pergi bekerja.
"Jadi saya sekarang perlu pandai membahagikan masa untuk kerjaya dan keluarga… Saya akan bangun tiga jam awal semata-mata untuk menghabiskan masa bersama Lara.
"Bila dah luangkan masa dan siapkan semua persediaan untuk Lara, barulah saya akan bergegas ke tempat kerja.
"Saya sendiri rasa perubahan bila dah bergelar ibu, perasaan rindu pada anak pasti ada walaupun sebenarnya baru sekejap tinggalkan dia," ujarnya tersenyum.
Dalam perkembangan lain, Scha akan muncul dalam drama bersiri terbaharu berjudul ‘3 Campur 2’ pada Sabtu, 13 Disember ini jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
#anak #Astro #berlakon #drama #lara #scha #Sharifah
;