Tak makan daging, ayam tips Fasha Sandha kembali dapat bentuk badan ideal
Astro Awani
Jun 2, 2023 10:00 MYT
Jun 2, 2023 10:00 MYT
JAGA pemakanan dan mengamalkan bersenam merupakan kunci kejayaan bagi seseorang untuk menurunkan berat badan.
Pelakon jelita Fasha Sandha mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, namun dia berjaya menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram selepas melahirkan anak ketiga.
“Sejak Oktober lalu, saya jaga pemakanan dan imbangi dengan senaman. Saya juga sudah boleh diet ketat selepas Aisha sudah meminum susu formula.
“Dari Isnin hingga Jumaat, saya tak makan daging dan ayam langsung. Hanya jamah ikan saja. Manakala Sabtu dan Ahad, hari saya 'melantak'.
“Saya ini dari jenis genetik besar. Jadi, makan lebih sedikit, badan akan cepat naik. Syukur pengorbanan dan usaha saya nak langsing kali ini dipermudahkan,” katanya kepada Astro AWANI.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, Fasha bersyukur percaturan jenama tudung popular, Leeyanarahman menggunakan wajahnya menerusi kempen terbaharu 'Rosalinda' dilihat 'menjadi'.
“Kalau pelakon Thalia menjadi Rosalinda terkenal dengan wajah cantik serta suka menyelit bunga mawar di tepi telinganya, tudung kempen Rosalinda ini juga apa kurangnya.
“Saya sendiri melihat usaha dilakukan Nur Liyana dan suami, Muhammad Hafiz, mengangkat jenama tudung mereka sejak 2012.
"Ternyata, populariti dan pengaruh itu seiring dengan kualiti tudung mereka yang cantik, trendy, berkualiti dan dengan harga mampu milik,” katanya.
Sementara itu, Fasha berkata, dia bersyukur kerana pihak Leeyanarahman sudi menyuntingnya sebagai wakil syarikat itu.
“Tentunya saya bangga apabila kempen ini memilih nama Rosalinda. Drama dan watak yang pernah bertakhta di hati ramai itu tak disangkal lagi.
"Sejak kecil saya meminati drama itu dan teruja menjayakan kempen ini,” katanya.