Tak mahu ungkit kisah lalu, Afiq Muiz kini lebih bahagia bersama Umi
Gempak
Jun 4, 2014 19:25 MYT
Jun 4, 2014 19:25 MYT
Selepas kontroversi yang pernah melanda dirinya suatu ketika dahulu, pelakon Afiq Muiz kini lebih selesa berada disamping ibu tersayang dan tidak mahu kisah lalunya diungkit kembali.
Ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia bertempat di Hotel Royal baru-baru ini, Afiq yang hadir bersama ibunya kelihatan begitu mesra dan tidak kekok ketika ditemu bual oleh pihak media.
Menurut Afiq, kini kehidupannya bertambah tenang dan pengalaman pahit yang berlaku sebelum ini telah banyak mengajar dirinya untuk menjadi lebih matang.
“Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang lebih bertambah lebih-lebih lagi apabila saya bersama umi… Syukur saya masih lagi diberi peluang untuk bersamanya.
“Kalau boleh sekarang saya tidak mahu fikirkan peristiwa pahit yang pernah terjadi… Yang penting saya nak teruskan kehidupan seperti biasa dan fokus pada kerjaya,” katanya.
Selain itu, pelakon berusia 22 tahun ini mengakui peristiwa yang berlaku adalah kerana dia tersilap langkah dalam memilih teman dan akibat daripada perbuatannya itu dia telah pun menerima balasan.
“Apa yang berlaku sebelum ini telah menunjukkan saya siapa lawan dan siapa kawan… Tetapi saya tak mahu salahkan sesiapa.
“Saya tahu banyak dosa saya terhadap umi dan saya menyesal kerana pernah buat umi menangis.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan saya akan berusaha untuk menjadi anak yang terbaik buat umi,” ujarnya dalam nada kesal.
Dalam pada itu, ibunya Hasliza Mohd yang turut hadir pada majlis tersebut turut meluahkan rasa gembira kerana anaknya telah kembali.
“Tiada apa yang boleh saya ungkapkan melainkan perasaan gembira kerana Afiq telah kembali seperti biasa.
“Sebenarnya, sejak dulu lagi Afiq bukanlah jenis yang berperangai tidak elok... Dia merupakan seorang anak yang baik.
“Apa yang pernah berlaku sebelum ini biarlah kami sekeluarga sahaja yang tahu… Tidak perlu diungkit kembali dan yang paling penting doakanlah yang terbaik buat Afiq.” jelasnya. -- Astro Gempak