Tak mahu terburu-buru kahwin lagi, Yasmin Hani ulas hubungan dengan Alif Hadi
Gempak
April 24, 2022 12:47 MYT
April 24, 2022 12:47 MYT
PELAKON Yasmin Hani mengakui hubungannya dengan pelakon Alif Hadi masih di peringkat awal perkenalan.
Kata Hani, 43, dia tidak mahu terburu-buru dalam perhubungan dan bakal berkongsi berita gembira jika ada perkembangan baik.
“Sebenarnya kami baru berkenalan dan ingin mendalami hati budi masing-masing. Kami berdua boleh dikatakan masih dalam peringkat permulaan.
“Masih terlalu awal untuk kami bercinta. Insya-Allah bila hubungan kami nanti sudah ada hala tujunya, kami akan kongsikan perkara baik ini nanti,” kata Hani kepada Astro Gempak.
Hani ditemui hadir dan memakai pakaian sedondon dengan Alif di majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2022 di Nexus, Bangsar South, pada Jumaat.
Bercinta kembali selepas mengumumkan perceraiannya pada Disember tahun lalu, Hani memberitahu sikap sopan Alif, 34, membuatnya terpikat.
“Dia seorang lelaki yang sangat penyabar dan tidak suka memaksa. Malah seorang yang menghormati orang serta sopan,” beritahunya.
Sementara itu, Alif, 34, pula mengakui tertarik perwatakan Hani yang disifatkan sebagai seorang wanita yang peramah, baik dan manis.
“Saya lihat Hani sebagai seorang wanita peramah, baik dan manis. Sedangkan saya sendiri pendiam orangnya.
“Tapi apa-apa pun, saya masih ingin mengenali dirinya. Hani bukan tidak pernah berkahwin sebelum ini. Jadi biarlah kami mengenali hati budi masing-masing,” ujar Alif.
Bagaimanapun Hani tidak meletakkan sasaran bila dia bakal mendirikan rumah tangga kembali kerana yang penting hanya mahu mencari kebahagiaan.
“Seandainya hubungan kami tidak menjadi, tidak mengapa. Jangan gaduh-gaduh. Walaupun saya sudah berumur dan terpaksa menjadi janda sampai bila-bila, yang penting saya gembira,” kata Yasmin.
Terdahulu, hubungan antara Yasmin dan Alif mula hangat diperkatakan selepas masing-masing memuat naik foto bersama-sama dalam Instagram.
Sekadar info, Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Sha’arin Mohamed Razali pada 2011 dan bercerai pada Disember tahun lalu.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI GEMPAK