Tak mahu tangguh, Badrul Muhayat bernikah di bulan Ramadan

Gempak
April 20, 2023 12:14 MYT
Pasangan itu selamat bernikah di di Masjid Al Hidayah, Sentul pada Selasa. -- Gempak
PELAKON popular era 90-an, Badrul Muhayat nekad bernikah dengan wanita pilihan hatinya Norhayati Zulkapli di bulan Ramadan selepas empat bulan mengenali hati budi masing-masing.
Pasangan itu selamat bernikah di di Masjid Al Hidayah, Sentul pada Selasa.
Badrul memberitahu Kosmo! Online dia sengaja memilih hari pernikahan bertepatan tarikh ulang tahunnya yang ke-55 iaitu 18 April 2023 sebagai simbolik penyatuan mereka.
"Pada usia ini saya hanya mengharapkan kebahagiaan bersama suri hati untuk sama-sama melayari pengembaraan kehidupan ini.
“Perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Sebelum ini, kita semua berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian anak-anak pula sudah mula bersekolah.
“Jadi, masa berlalu dengan pantas yang membuatkan kami membulatkan keputusan supaya menyegerakan majlis pernikahan dan hanya mengadakan resepsi selepas musim raya.
“Saya memilih tarikh lahir untuk diijabkabulkan juga sebagai satu simbolik permulaan hari kami kerana kita tidak tahu ajal dan maut ditambah pada usia sekarang,” katanya.
Ditanya mengenai identiti wanita yang berjaya mencuri hatinya, pelakon filem Harry Boy itu berjanji akan memperkenalkan isterinya pada majlis resepsi sekitar Jun atau Julai depan.
Kata Badrul atau nama lengkapnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, tiada niat untuk berahsia, sebaliknya buat masa ini cukup untuk dikongsikan isterinya adalah graduan Universiti of Liverpool, England.
“Insya-Allah saya akan memperkenalkan isteri kepada semua pada majlis persandingan kami nanti.
“Memang saya tak sangka pun orang dapat hidu pernikahan kami kerana saya tidak memuat naik sebarang gambar dalam media sosial.
“Saya tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan disebabkan sudah ada perancangan ingin mengadakan majlis resepsi pada pertengahan tahun ini.
“Semua perkara mengenai isteri saya termasuk pertemuan pertama kami akan saya ceritakan pada majlis tersebut,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, namun kedua-dua ikatan itu berakhir dengan perpisahan.
Menerusi perkahwinan tersebut, dia dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini tinggal bersama bekas isterinya. -- Gempak
#Badrul Muhayat #bernikah #Norhayati Zulkapli #berkahwin
;