'Tak dapat beli tiket Coldplay, tonton saja konsert band lokal' - Sandiaga
Astro Awani
Mei 19, 2023 18:04 MYT
Mei 19, 2023 18:04 MYT
RAMAI yang 'kecewa' kerana gagal mendapatkan tiket konsert Coldplay, sama ada peminat di Malaysia mahupun di Indonesia.
Di Malaysia, tiket kumpulan rock terkenal dari Britain itu habis terjual dalam masa tiga jam dengan lebih 400,000 peminat 'berjuang' secara maya untuk mendapatkan tempat pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.
Keterujaan menyambut ketibaan band yang terkenal dengan rangkaian lagu popular Paradise itu, turut dirasai di Indonesia apabila Coldplay akan terlebih dalu singgah di republik itu pada 15 November.
Sama seperti di Malaysia, ramai peminat di negara jiran itu juga perlu 'berputih mata' kerana tidak dapat menghadiri konsert jelajah dunia kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahudin Uno mempunyai 'pesanan khas' kepada rakyat di negara itu yang tidak berjaya mendapatkan tiket konsert Coldplay.
Memetik laporan Kompas, Sandiaga menyarankan agar para peminat Indonesia tidak ke luar negara semata-mata untuk menonton konsert Coldplay, sebaliknya menegaskan banyak lagi konsert tempatan yang tidak kurang hebat untuk dihadiri di Indonesia.
"Antaranya ialah kumpulan band D'Masiv dan Denny Caknan.
"Ini kesempatan kepada (peminat) yang tidak dapat tiket Coldplay boleh menonton, mungkin D'Masiv, Noah, atau Denny Caknan.
"Jadi, jangan ke luar negeri tetapi menonton band lokal," katanya memetik laporan portal tersebut pada Khamis.
Dalam masa sama, Sandiaga turut menasihati peminat Coldplay agar tidak 'tergoda' dengan penjualan tiket yang bukan daripada saluran rasmi.
Selain Malaysia, Coldplay dijangka beraksi di beberapa negara lain iaitu Jepun pada 6 dan 7 November, disusuli Taiwan (11 November); Indonesia (15 November) dan Australia (18 November).
Coldplay dianggotai Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.