Tak boleh nyanyi live? Nabila Razali terkilan, Atu pula minta jadikan pembakar semangat
Astro Awani
Januari 2, 2023 18:44 MYT
Januari 2, 2023 18:44 MYT
PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali meluahkan rasa terkilan dengan jenaka pelawak Atu Zero yang seolah-olah menyindir kemampuan nyanyiannya dalam sebuah program televisyen baru-baru ini.
Menerusi Instagram, penyanyi lagu Pematah Hati itu berkata dia sentiasa berusaha memperbaiki mutu nyanyiannya, dan peminat setianya pasti menyedari perubahan positif pada nyanyiannya.
"Setiap tahun, saya cuba untuk memperbaiki diri, dan peminat setia pasti tahu peningkatan saya.
"Kepada semua pelawak, cubalah cari bahan lebih baik untuk membuat jenaka. Saya tidak nampak perbezaan lawak ini dengan tindakan body shaming," tulis Nabila di Insta Story.
Tambah Nabila, dia tidak marah kepada Atu, namun kecewa dengan tindakan pelawak itu yang nyata tidak sensitif.
Terdahulu, komen Atu terhadap salah seorang peserta The Masked Singer, Si Bulu Tangkis yang menyanyikan lagu milik Nabila, mendapat perhatian.
Atu dalam komen spontannya, menafikan individu di sebalik kostum berkenaan adalah Nabila, dengan mengatakan Nabila tidak boleh menyanyi live dengan baik.
Sementara itu, portal Mstar melaporkan Atu sudah meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya namun dalam masa yang sama berharap Nabila mengambilnya sebagai pembakar semangat untuk terus memajukan diri.
"Kata-kata saya memang salah, tetapi dari sudut berbeza, anggaplah ia pembakar semangat untuk dia jadi penyanyi yang lebih baik," katanya.