"Tak berani lagi, bimbang..." - Anuar Zain perjelas kenapa belum lagi jumpa bayi Ernie dan Syamel
Gempak
April 4, 2022 12:26 MYT
April 4, 2022 12:26 MYT
PENYANYI tersohor Anuar Zain akui masih belum berkesempatan menziarahi bayi sulung pasangan selebriti Ernie Zakri dan Syamel.
Menurut Anuar, ada sebab mengapa dia berbuat demikian dan antaranya juga adalah kerana mahu menunggu hingga Ernie selesai berpantang.
“Saya tak pernah jumpa lagi, daripada dulu kalau ada saudara atau kawan-kawan baru bersalin saya beritahu hanya akan jumpa selepas mereka berpantang.
"Kalau tinggal satu rumah okaylah kalau kita tengok. Tapi yang tinggal berasingan walaupun saudara mara atau kawan baik sekali pun saya tak berani lagi.
"Saya ada cakap dekat Ernie, lepas habis berpantang barulah saya datang melawat bayi mereka.
“Sekarang ini saya tengok daripada foto yang dikongsi sahaja.
"Comel betul, mata cantik. Bibir macam mak dia, putih gebu! Ada ikut muka mak dia la," katanya.
Tambah Anuar, dia juga menolak untuk bertemu dengan bayi yang baru dilahirkan kerana bimbang jika boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
"Ramai saja yang undang datang ke rumah, tapi saya tolak sebab semasa berpantang itu bayi masih lemah, kita dari luar tak tahu bawa apa, datang dari mana.
"Jadi untuk elakkan daripada benda-benda tak diingini itu, jadi kita tunggu habis pantang.
“Kalau selepas itu nak melawat pun kena waktu siang, malam-malam tak boleh. Kita kena berjaga-jaga sebab mereka itu masih bayi,” katanya.
Anuar berkata demikian pada majlis sidang media Misi Kemanusian Syria Care 13.0 yang diadakan di Pejabat Syria Care, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Sekadar info, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, selamat melahirkan cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.