'Tak ada niat mengaibkan, cuma nak bergurau'

Madiha Abdullah
Februari 21, 2019 20:39 MYT
Fairuz (bertopi) dan Azhar (kiri, baju putih), membuat permohonan maaf secara terbuka atas dakwaan yang dibuat mereka terhadap Misha.
Bermula sebagai gurauan, tetapi akhirnya menjadi tular dan memakan diri.
Dua individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap penyanyi Misha Omar, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, pada Khamis.
Fairuz Azwan dan Azhar Aziz menyebarkan kenyataan mendakwa Misha menggunakan khidmat bomoh selepas kejayaan penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merangkul trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 33, baru-baru ini.
Menyesali perbuatan mereka, kedua-duanya mengakui tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan nama baik sesiapa, sebaliknya hanya mahu bergurau.
"Tak ada niat nak mengaibkan sesiapa pun pada asalnya, hanya mahu bergurau sesama rakan di media sosial.
"Terima kasih kepada Misha kerana sudi menerima permohonan maaf kami," kata Fairuz.
Selain Fairuz dan Azhar, pemilik satu lagi akaun media sosial yang melemparkan tuduhan yang sama, tidak muncul namun telah menyahaktifkan akaun tersebut.
Abi Mursyidin, peguam yang mewakili Misha memaklumkan selepas perbincangan, mereka bersetuju untuk menamatkan isu itu dan akan menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.
"Tentang satu lagi akaun itu, kami anggap kes selesai kerana ia sudah dinyahaktifkan," kata Abi ketika sesi sidang media khas di ibu negara.
Dalam pada itu, Misha berharap perkara itu menjadi pengajaran bukan sahaja buat mereka yang terlibat tetapi netizen secara keseluruhannya.
"Saya perlu melakukan sesuatu kerana kenyataan-kenyataan sebegini akan menjejaskan nama baik saya.
"Saya sudah berkeluarga, saya ada anak-anak. Anak sulung saya sudah bersekolah dan ada kumpulan sosial sendiri.
"Bayangkan kalau rakan-rakan dia bertanya, bagaimana dia mahu berdepan dengan situasi itu? Keluarga mertua saya, bagaimana kalau orang sekeliling bercakap dan memperkatakan hal yang tidak betul?" tanya Misha.
Tambah Misha lagi, sudah sampai masanya masyarakat dididik untuk sentiasa beradab, sekalipun di media sosial.
"Apa sahaja yang anda tulis, anda perlu bertanggungjawab. Jangan ambil mudah kerana ramai orang akan terlibat apabila perkara macam ini terjadi," katanya.
#Anugerah Juara Lagu 33 #fitnah #Maaf #media sosial #Misha Omar #penyanyi #Tular
;