'Tak ada ibu, tak ada syurga?' Akhirnya Fizi minta maaf
Madiha Abdullah
Jun 2, 2020 20:23 MYT
Jun 2, 2020 20:23 MYT
BEBERAPA hari lepas, watak Fizi dalam siri animasi Upin dan Ipin menjadi sebutan pengguna media sosial di Malaysia dan Indonesia apabila satu baris dialog yang diucapkannya dalam episod yang disiarkan sempena Hari Raya Aidilfitri, dilihat menyinggung perasaan dan mengundang kemarahan.
Dalam episod berjudul yang disiarkan di saluran MNCTV, Indonesia itu, Fizi berseloroh dengan menyatakan tidak ada syurga untuk anak yang tidak mempunyai ibu.
Peka dengan reaksi penonton, penerbit Upin dan Ipin, Les' Copaque, memuat naik video berdurasi 46 saat menyiarkan pemohonan maaf daripada Fizi.
Dalam video itu, Fizi menghubungi Upin dan Ipin melalui panggilan video dan meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya.
Seperti video sebelum ini, keleteh Fizi yang sedih kerana dikecam ramai, mencuit hati peminat namun usahanya memohon maaf menerima pujian.
"Tengok effort Fizi, siap bervideo call pakai tripod," kata seorang pengguna Twitter, Hasbul.
"Sedih tengok Fizi minta maaf, tak jadi nak cili mulut dia," komen seorang lagi pengguna Twitter, Eqhwan.
Sebelum ini, menerusi satu adegan yang disiarkan dalam episod berkenaan berjudul Syahdunya Syawal itu, Upin dan Ipin bersama Fizi dan Mail berbual tentang tanggungjawab anak untuk membantu ibunya.
Kata Mail, dia perlu membantu ibunya membuat persiapan hari raya kerana "syurga di bawah telapak kaki ibu".
Kenyataan itu kemudian dibalas dengan soalan dari Upin dan Ipin, yang diketahui merupakan watak anak yatim piatu.
"Kalau tak ada ibu?" tanya mereka.
"Tak adalah syurga," itu jawapan kontroversi yang diberi Fizi.
Memetik laporan Berita Harian beberapa hari lalu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata reaksi orang ramai terutama penonton Indonesia membuktikan betapa watak-watak animasi berkenaan sangat dekat dengan masyarakat.
“Emosi sungguh penonton di Indonesia apabila Fizi melafazkan dialog berkenaan. Jelas mereka sebenarnya sangat sayang dengan watak Upin dan Ipin.
“Ada sebab dialog dilontarkan Fizi termasuk babak itu diwujudkan. Ini kerana persoalan di mana syurga bagi anak yatim, terus berlegar dalam fikiran kita,” katanya.