Tajuk muka depan berita, asyik-asyik Siti Nurhaliza

Muzaffar Mustapa
November 10, 2015 16:25 MYT
Datuk Siti Nurhaliza sewaktu beraksi di Konsert Satu Suara Vol. 2 di Istana Budaya Kuala Lumpur - FotoBERNAMA
Nama penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza kembali menjadi tajuk berita utama negara sejak Ahad lalu.
Semuanya gara-gara sekeping foto yang dimuatkan di laman sosial Instagram yang memaparkan segelas campuran susu kambing dan buah kurma yang dikatakan berkhasiat untuk wanita yang sedang hamil.
Setelah usianya menginjak 36 tahun dan usia perkahwinannya bersama usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menjenguk sedekad, pastinya ini berita yang ditunggu-tunggu jutaan peminatnya seluruh Asia.
Ramai juga yang bertanya, kenapa media asyik-asyik memaparkan berita Siti Nurhaliza?
Katalah apa sahaja, penyanyi yang sudah hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia seni muzik tanahair ini akan terus relevan dan sentiasa menjadi buruan media untuk mendapatkan berita terkini lagi sensasi.
Apa sahaja yang dilakukan Siti masih laku untuk menjadi pelaris akhbar, majalah, televisyen mahupun portal internet.
GALERI FOTO: Gurauan Siti Nurhaliza, Hetty Koes Endang di Konsert Satu Suara 'Volume 2'
Status Siti di Facebook jadi berita sensasi, tweet Siti di Twitter juga boleh jadi berita, malah komennya di Instagram pun pernah menggemparkan negara (walaupun hanya komen biasa kepada bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo)
BACA: Memalukan! Siti Nurhaliza luah kebimbangan dengan kemelut menimpa Tabung Haji
BACA: Siti Nurhaliza harap rakyat Malaysia dijauhi dari fitnah, pembohongan
Bagi setiap pengamal media di seluruh dunia, muka depan adalah satu ruang paling berharga yang perlu dimanfaatkan setiap inci.
Itulah penarik untuk penonton terus menonton dan pembaca terumpan untuk membeli.
17 Julai 2006 media mengerumuni ruang sempit di sebuah hotel terkemuka tanah air untuk mendapatkan pengesahan Siti sendiri berkenaan lelaki pilihan hatinya. Sudah pasti keesokannya berita tersebut menjadi tajuk utama semua media tempatan.
Sekaligus menjadikan majlis perkahwinannya dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos tahun yang sama dilabelkan sebagai Majlis Perkahwinan Dekad Ini.
Foto majlis persandingannya terpampang di muka depan akhbar.
Jangan sesekali menidakkan cerita itu. Persaingan media sekitar lebih 9 tahun yang lalu cukup sengit. Media akan melakukan apa sahaja untuk berita Siti.
Sehinggakan hadiah ulangtahun kelahirannya selepas berkahwin turut mendapat perhatian.
Namun, media tidak pernah mengeluh kerana nama Siti itu merupakan pelaris untuk penonton dan pembaca.
Dan Siti juga memerlukan media agar peminatnya tidak cepat terpesong apabila terbaca pelbagai spekulasi dan gosip yang tersebar mengenainya.
Saling lengkap-melengkapi inilah yang menjadikan Siti sentiasa dihormati media
Sifat rendah diri, mesra dan tidak pernah sekali menganggap media sebagai seteru menjadi resepi kejayaannya.
Jika itu menjadi satu rahsia kepada setiap kejayaannya, jawapannya mudah sahaja.
Sifat ramahnya dan senang berhadapan dengan media adalah jawapannya.
Ketenangannya menjawab setiap persoalan media membuatkan media semakin mudah berurusan dengannya.
Dihimpit spekulasi hamil sekali lagi, Siti tidak sekali-kali melarikan diri. Malah dengan senyuman dan keramahannya cuba untuk merungkai setiap persoalan.
Namun, hanya kesabaran yang dipohon Siti agar tiada hati yang terluka.
Jika waktu diasak soalan lelaki yang menjadi idamannya, Siti menyiapkan satu lagu malar segar yang bertajuk Biarlah Rahsia.
Kali ini sewaktu diasak soalan spekulasi hamil, entah lagu apa pula yang akan dicipta.
Enggan berahsia di sidang media ringkas itu, Siti tidak mengiyakan dan tidak juga menafikan (klik video). Baca sahaja makna di antara lapis-lapis jawapannya.
Sampai masa yang sesuai (siapa tahu mungkin Januari tahun depan), pasti nama Siti Nurhaliza akan sekali lagi terpampang di muka depan.
#hamil #Media #mengandung #Siti #Siti Nurhaliza #spekulasi
;