Tahniah! Joe Flizzow, Marini Ramlan selamat bergelar suami isteri
Afiq Ariffin
Jun 26, 2020 14:21 MYT
Jun 26, 2020 14:21 MYT
Penyanyi rap dan penulis lirik terkenal tanah air, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak selamat mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan hatinya, Nurin Marini Ramlan pada Jumaat.
Berita gembira itu dikongsikan oleh ibu Marini, Fatimah Ismail, menerusi akaun Instagram miliknya dengan tanda pagar #JoeNini.
“Hari ini merupakan hari bahagia anak perempuan saya Nini dan Joe Flizzow. Tahniah buat keduanya, semoga perkahwinan kalian direstui Allah dan kekal selamanya.
“Kepada Joe, selamat datang ke dalam keluarga kami. Sayang selamanya, Ibu,” tulis Fatimah menerusi muat naik gambar pasangan yang lengkap mengenakan persalinan berwarna putih dan sedang duduk di atas pelamin.
Sementara itu, menerusi akaun Instagram adik kepada Marini, Didi Ramlan, beliau turut memuat naik beberapa keping gambar majlis pernikahannya dengan kapsyen ‘COVID wedding vibes’.
Difahamkan, Joe memilih Marini yang juga seorang pelukis dan usahawan selepas beberapa tahun menyulam cinta dengan wanita berkenaan.
Terdahulu, Joe dan Marini mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lepas dan dijangka mendirikan rumahtangganya pada April tahun ini.
Namun, kedua pasangan itu terpaksa menundakan hasratnya ekoran penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac lalu.
Difahamkan, acara akad nikah itu cuma dihadiri oleh ahli keluarga dan sahabat handai selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengadakan majlis perhimpunan.
Joe dan Marini selamat bergelar suami isteri sejurus selepas diakad nikahkan oleh Ustaz Mohd Borhanuddin Othman.
Kedua-dua mempelai juga bertukar hantaran termasuk sepasang cincin perkahwinan, sepersalinan pakaian tradisional, senaskah Al-Quran (yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong), sebentuk butang baju melayu antik emas warisan keluarga, sehelai kain sampin songket tenunan pereka terkenal berasal dari Terengganu, Wan Manang dan sepasang kasut Nike edisi terhad, Air-Force One Supreme.
Biarpun acara itu dilaksanakan dalam skala yang kecil, Joe bersyukur kerana ia berjalan lancar dalam suasana yang penuh bermakna.
“Syukur Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kami.
“Saya juga tidak sabar untuk bertemu peminat saya sejurus pandemik ini selesai,” ujar Joe.
#bernikah
#COVID-19
#Fatimah Ismail
#Joe Flizzow
#kahwin
#keluarga
#Marini Ramlan
#perintah kawalan pergerakan
#perkahwinan
#PKP