'Syurga Ita dah tak dak, mak!' - Anita Baharom umum berita duka pemergian ibu tercinta
Gempak
Mei 9, 2022 11:15 MYT
Mei 9, 2022 11:15 MYT
BELUM habis berendam air mata selepas kematian suami, pelakon Anita Baharom diuji pula dengan kehilangan ibunya, Wirmah Pawanchee pada 6 Mei lalu.
Berkongsi perkara terbabit di Instagram, arwah ibunya meninggal dunia pada usia 74 tahun namun tidak mendedahkan punca kematian.
"Innalillahiwainnailaihirojiun. Mak Ita dah tak de. Makkkkkk.
"Syurga Ita dah tak dak Mak.
"Semoga Mak bahagia tenang di alam sana.. Ita sayang Mak dunia akhirat. Kita jumpa di sana ya Mak.
"Semoga Mak dapat jumpa abah dan Ismadi. Kami rindu Mak," tulis Anita bersama beberapa keping foto.
Lebih sayu, Anita turut memuat naik foto kenangannya bersama arwah ibu sempena sambutan hari ibu pada Ahad.
Mengungkapkan rasa rindu terhadap kehilangan arwah, Anita turut berkongsi sepotong doa buat ibunya yang sudah pergi menghadap Ilahi.
Jenazah ibunya telah dimandikan, disembahyangkan serta selamat dikebumikan di Masjid Al Amin Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah pukul 8 pagi Sabtu.
Terdahulu pada 1 Januari lalu, Anita kehilangan suami tersayang, Ismadi Ismail, 50, yang meninggal dunia di kediaman mereka di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 8 pagi.
Ismadi meninggalkan Anita bersama tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Mikail.
*Artikel asal di Gempak