'Syukur balik dari luar negara masih boleh cakap Melayu' - Sarimah Ibrahim

Gempak
September 3, 2019 12:36 MYT
SARIMAH: "-Saya bersyukur kerana ayah bertutur dalam Bahasa Melayu dengan saya sepanjang berada di luar negara." - Foto Twitter
WARGA net memuji pengacara dan pelakon Sarimah Ibrahim kerana tidak melupakan bahasa ibunda walaupun tinggal lama di luar negara.
Menerusi laman sosial Twitter, warga net meninggalkan komen positif pada ciapan pelakon berdarah kacukan Ireland itu.
Sarimah pada pagi Selasa (semalam) menulis status, meluahkan rasa syukur kerana bapanya bercakap Bahasa Melayu walaupun mereka tinggal di luar negara.
“Saya lahir di Ireland, belajar di sekolah kebangsaan di sini (Malaysia). Kemudian ke Cambridge High School di Abu Dhabi, The Emirates International School Dubai dan Wesley College, Dublin.
“Saya bersyukur kerana ayah bertutur dalam Bahasa Melayu dengan saya sepanjang berada di luar negara.
“Jadi, bila pulang ke Malaysia pada tahun 1996, saya masih boleh bercakap Bahasa Melayu,” katanya.
Ciapan Sarimah telah mendapat hampir 8 ribu ulang kicau dan 13 ribu tanda suka.
Sementara itu di ruangan komen rata-rata warga net memuji Sarimah yang tidak pernah melupakan asal-usulnya walaupun berdarah kacukan ‘mat saleh’.
Malah mereka turut memuji cara Sarimah bercakap dalam Bahasa Melayu yang sangat baik dan lancar ketika mengacarakan sesebuah majlis atau program.
#Bahasa Melayu #Cambridge High School #Malaysia #Sarimah Ibrahim #The Emirates International School Dubai #Twitter #Wesley College Dublin
;