Syed Saddiq menyanyi, Siti Nurhaliza 'risau' tidak boleh cari makan

Asyraf Roslan
September 1, 2019 16:27 MYT
Siti Nurhaliza turut meninggalkan komen di entri Syed Saddiq yang membuatkan warganet terhibur.
Tanggal 31 Ogos disambut meriah oleh semua rakyat Malaysia sempena ulang tahun Kemerdekaan yang ke-62.
Tidak hairanlah jika anda lihat pelbagai aksi di media sosial di mana rakyat Malaysia menterjemahkan perasaan mereka buat negara tercinta.
Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia istimewa buat pengikutnya di laman Instagram.
Entri tersebut telah mendapat perhatian rakyat Malaysia termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza turut meninggalkan komen yang membuatkan peminatnya terhibur.
Di ruangan komen tersebut penyanyi Anta Permana itu menyakat Syed Saddiq dengan berkata, sukar untuk dia 'mencari makan' selepas menteri berusia 26 tahun itu memuat naik rakaman nyanyian lagu Sejahtera Malaysia.
" YB @syedsaddiq alamak, tak boleh cari makanlah saya lepas ni," kata Siti Nurhaliza di ruangan komen.
Selain Siti Nurhaliza, penyanyi, Sufian Suhaimi juga meninggalkan komen di entri tersebut.
Video nyanyian yang dimuat naik oleh Syed Saddiq itu telah mendapat lebih 230,000 tontonan dan lebih 58,000 tanda suka sehingga pukul 4.30 petang Ahad.
#Datuk Seri Siti Nurhaliza #Instagram #Makna Merdeka #MalaysiaKU #Sejahtera Malaysiaku #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;