Syamsul Yusof mohon doakan filem 'The Original Gangster'
Gempak
Januari 15, 2023 10:50 MYT
Januari 15, 2023 10:50 MYT
WALAUPUN kini hal rumah tangganya hangat diperkatakan namun itu tidak menghalang pengarah terkenal, Syamsul Yusof untuk terus menghasilkan karya terbaik.
Terbaharu, menerusi video pendek di akaun Instagram miliknya, Syamsul berkongsi perkembangan filem terbaharu arahannya berjudul, The Original Gangster.
Dalam video tersebut, Syamsul berkata dia berharap orang ramai dapat menyokong filem tersebut.
“Shooting time. Doakan. The Original Gangster,” ujar Syamsul ringkas sambil tersenyum manis.
Video itu juga merakamkan Syamsul yang berada di set penggambaran bersama anak lelaki legenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Jebat.
“Dengar cerita awak menang kes (mahkamah). Alhamdulillah. Hai semua, kalau kalian tak tahu, ini adalah anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Al-Fatihah,” maklumnya.
The Original Gangster menjadi antara filem yang tidak sabar ditunggu oleh penonton kerana dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Hairul Azreen, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan.
Untuk info, antara karya Syamsul yang berjaya mencatatkan sejarah adalah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan kutipan panggung RM97 juta di pawagam tahun lalu.
Terdahulu, nama Syamsul menjadi panas selepas mengaku sudah bernikah dengan isteri kedua, Ira Kazar berwalikan bapa pengantin perempuan tersebut di Thailand, baru-baru ini.
Pergolakan rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana terus menjadi topik bicara sepanjang minggu lalu hingga kini.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Gempak