Syamel, Ernie bernikah pagi esok
Madiha Abdullah
Mac 25, 2021 22:27 MYT
Mac 25, 2021 22:27 MYT
KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel, bakal melangsungkan majlis pernikahan mereka esok.
Difahamkan, majlis akan berlangsung secara tertutup di sebuah masjid jam 10 pagi dan ia hanya akan dihadiri keluarga terdekat.
Pasangan yang popular dengan lagu Aku Cinta itu membuat pengumuman tentang pernikahan mereka menerusi akaun Instagram masing-masing, petang tadi.
Mereka turut memuat naik sebuah video praperkahwinan di saluran YouTube mereka, Bang Mel dan Kak Ninie, dengan tajuk dan hashtag #GoodbyeHelloBMKN.
Astro Gempak melaporkan, pasangan itu bakal bertukar lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang, dan Syamel akan menyerah seutas gelang tangan untuk upacara membatalkan air sembahyang.
Majlis resepsi mereka bakal berlangsung 3 April depan.
Ernie, 29, dan Syamel, 28, mula berkenalan rapat kira-kira lima tahun lepas selepas terlibat dalam program Duo Star yang menyaksikan mereka dinobatkan sebagai pemenang.
Mereka mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.