Syada Amzah nafi ibunya fail perceraian terhadap ND Lala
Gempak
April 14, 2023 09:15 MYT
April 14, 2023 09:15 MYT
Syada Amzah menafikan kehadiran ibunya, Fauziah Sarman ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi pada 3 April lalu untuk memfailkan perceraian terhadap ND Lala yang juga bapa penyanyi itu.
Syada yang juga adik kepada penyanyi Shila Amzah memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada mereka sekeluarga untuk menyelesaikan secara dalaman terlebih dahulu.
"Tidak semestinya apa yang orang sangkakan itu benar. Kehadiran ibu saya ketika itu bukan bertujuan untuk menfailkan penceraian. Malah, saya sendiri sudah melihat surat yang dibawa pulang oleh ibu.
"Kes ini masih belum selesai, seperti saya katakan beri ruang kepada kami untuk mencari solusi bagi kemelut ini. Malah, kami sendiri belum mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.
"Setahu saya sejak dari tarikh 3 April lalu sehingga ke hari ini, ibu tidak menfailkan perceraian," katanya kepada HLive.
Syada bagaimanapun enggan memperincikan tujuan ibunya ke mahkamah baru-baru ini.
Sebelum ini, ND Lala dikaitkan dengan dakwaan kononnya berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya. - Gempak