Switch Off '14 masih belum berbincang dengan KP FINAS mengenai 11 perkara

Azyyati Ahmad
November 8, 2014 09:10 MYT
Sidang media Switch Off '14 pada 21 Okt lalu dihadiri pemimpin persatuan dan ratusan lagi penyokong kempen yang terdiri daripada penggiat seni tanah air.
Penggerak kempen Switch Off ’14 masih belum dapat berbincang dengan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengenai 11 perkara yang bakal dibentangkan pada perhimpunan 11 November ini.
Kata Pengerusi kempen tersebut, perbincangan itu tidak dapat dilakukan kerana Ketua Pengarah FINAS, Kamil Ahmad Mohd Othman masih berada di luar negara.
Namun demikian, Jurey memberitahu bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi reaksi mengenai 11 gesaan yang diutarakan oleh Switch Off ’14.
“Dalam Forum Hala Tuju, Transformasi Industri Kandungan Kreatif 30 Okt lalu, Ahmad Shabery ada mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Industri Kandungan Kreatif serta ‘Pitching Centre’ bagi memajukan industri kreatif” kata Jurey.
Jurey turut menyeru penggiat industri seni untuk turun padang bagi mendengar 11 perkara yang akan dibentangkan dalam suasana santai dan aman damai.
“Saya menyeru kepada orang-orang industri yang membaca mengenai kempen Switch Off ’14 ini hadir dan mendengar mengenai 11 permintaan tersebut.
Tiada perarakan atau apa jua unsur negatif yang akan berlangsung. Semuanya akan diadakan secara santai dalam konsep bersatu padu dengan moto ‘one for all, all for one’” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jurey memberitahu, selain pembentangan 11 perkara itu, pada hari tersebut turut diadakan persembahan nyanyian, pembacaan puisi serta beberapa sketsa mengenai kisah 20 tahun industri seni.
1000 karyawan dijangka hadir pada kempen ini yang bermula pada pukul 8 pagi di Dataran Karyawan Finas.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) Jarmawi Jaafar akan turut hadir bagi bersama-sama membuat ucapan dan mendengar pembentangan 11 perkara.
Antara persatuan yang terlibat dalam memberi sokongan kepada Switch Off '14 adalah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (POSTAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (PAPITA), Persatian Penyiar Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kebajikan Penghibur India Malaysia (MIEWA), Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM) dan Pertubuhan KebajikanArtis-Artis Pelapis (PERKAP).
Antara 11 gesaan Switch Off 14 adalah:
1. Mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif
2. Menekan hak IP (harta Intelek) yang lebih adil dan munasabah
3. Menaikkan kadar harga dan menyelaraskan harga belian konten di stesyen tv
4. Pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% karya tempatan
5. Penguatkuasaan polisi Made In Malaysia (MIM) dan Paducitra
6. Menubuhkan satu badan atau one stop centre yang mengawal selia industri TV secara langsung
7. Melantik wakil industri yang dipersetujui oleh pemain industri dalam peranan membuat dasar industri
8. Menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik;
9. Skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi
pembelian peralatan teknikal
10. Skim insurans khusus untuk penggiat industri
11. Dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan.
#Jurey Latiff Rosli #Switch Off 14
;