Susulan sambutan hangat, 'Perempuan Tanpa Dosa' disambung 4 lagi episod
Asyraf Roslan
November 28, 2020 08:31 MYT
November 28, 2020 08:31 MYT
PEMINAT drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa pasti tidak sabar menantikan pengakhiran drama tersebut.
Berikutan sambutan hangat daripada penonton, drama arahan sutradara Michael Ang yang sepatutnya berakhir di episod 28 pada 23 November lalu kini disambung empat lagi episod.
Ini menjadikan keseluruhan drama ini adalah sebanyak 32 episod kesemuanya.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, tambahan episod untuk drama bersiri lakonan Kamal Adli dan Uqasha Senrose ini merupakan satu tanda terima kasih kepada penonton yang memberi sambutan positif terhadap drama tersebut.
"Kami gembira dan berbesar hati dengan sambutan positif yang diterima untuk drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ di slot Megadrama.
"Sejak mula ditayangkan, drama ini ternyata berjaya membawa penonton untuk bergelumang dengan mainan emosi menerusi plot penceritaan dan lakonan mantap barisan pelakon yang meninggalkan kesan kepada penonton," kata Emarina.
"Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, kami hadiahkan empat episod tambahan kepada para peminat yang pastinya tertanya-tanya apakah pengakhiran kisah cinta tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.
Selain Kamal Adli dan Uqasha Senrose, drama ini turut dijayakan Zac Zaky, Yusof Bahrain, Shaza Bae dan Azza Elite.
Saksikan episod akhir Perempuan Tanpa Dosa pada 30 November ini jam 10 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Anda juga boleh strim drama ini menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
#Perempuan Tanpa Dosa
#Kamal Adli
#Uqasha Senrose
#Shaza Bae
#Michael Ang
#Zac Zaky
#Yusof Bahrain
#Astro
#Mega Drama