Superptui! & Transit Kaler Magenta kembali ke pentas selepas 10 tahun

Astro Awani
Disember 5, 2014 20:02 MYT
Superptui! & Transit Kaler Magenta kembali ke pentas
Pernah dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2004, akhirnya setelah sepuluh tahun naskhah teater Superptui! & Transit Kaler Magenta dipentaskan kembali.
Wan Azli Wan Jusoh, selaku pengarah turut menjelaskan mengapa naskhah Superptui! & Transit Kaler Magenta dipilih untuk dipentaskan.
“Sebagai pemain - begitulah kita, dari perspektif apapun. Tuan atau hamba, tidak terkecuali. Lalu kita harus mengerti di mana kita berada dan tanggapan apa yang harus kita ada untuk menangani keberadaan kita. Mungkin kerana itulah maka terhasilnya naskhah drama ini. Atau mungkin ini hanyalah sekadar basa-basi untuk memperkatakan sesuatu yang telah tumbuh, akibat dari kelangsungan kehidupan,” ulasnya.
Drama Superptui! & Transit Kaler Magenta ini ditulis pada awal tahun 2004, sebagai lanjutan kepada drama tulisannya sebelum ini yang berjudul Menembak Epal Atau Jambu.
“Kedua-duanya cuba melukis permasalahan yang hampir sama iaitu bahawa kita sebenarnya telah dibentuk menjadi begini dan begini. Bezanya Menembak Epal Atau Jambu mengambil latar institusi pendidikan manakala Superptui! & Transit Kaler Magenta ini pula berlatarkan institusi keluarga,” jelasnya.
Tambahnya lagi, persoalan sejarah sentiasa bermain dalam kepala dan sejarah itulah yang telah membentuk perjalanan ini.
“Saya lihat persoalan dalam drama ini sebagai belenggu yang kita semua sedang mendepani dan kita kelihatannya terlalu asyik bermain-main di dalamnya - sedar atau tidak. Kita tidak mampu melepaskan diri dari sejarah yang telah membentuk kita menjadi sebegini seandainya kita tidak mengerti atas tujuan apa semua ini harus terjadi.”
Teater Superptui! & Transit Kaler Magenta akan dipentaskan di Panggung Pelanggang Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Pada 12-14 Disember 2014.
Naskhah yang sama akan dipentaskan di PJ Live Arts Petaling Jaya pada 5-7 Februari 2015.
Komplikasi yang harus ditanggung oleh tiga beradik yang dibentukkan berbeza oleh suatu sistem yang dalam cerita ini disebut sebagai Bapak. Helium Si Gas Nadir, Maseh Dara., dan Ptuih! telah terdidik sewajarnya sebagaimana kemahuan sistem tersebut.
Berlatarkan sebuah stesen transit pada suatu awal pagi, bila mana Ptuih! yang teracu sebagai berbentuk berontakan, telah melawan Bapak – lagi, sebagaimana sifatnya. Kali ini dia diusir dari rumah. Helium, sang abang yang tinggi pengetahuan tetapi sedikit autisme mengekori, bertujuan memujuk adiknya itu supaya terus bersama keluarga, atau barangkali secara peribadi dia punya keinginan lain.
Kemudian muncul Maseh Dara., kakak yang taat setia kepada Bapak untuk membawa Helium pulang atas arahan Bapak. Pertengkaran terjadi, maka terlantunlah di situ segala keperihalan mereka – yang akan kita fahami sebagai perihal suatu sistem yang dengan jayanya telah meliputi segenap ruang kehidupan mereka.
Dibungkus dengan simbolisme, teks ini cuba memberitahu bahawa mereka adalah mangsa. Superptui! & Transit Kaler Magenta adalah sebuah konsekuensi.
Teater ini dibarisi pelakon muda antaranya Botak (Ptuih!), Rosmi Fazreen Fazira (Maseh Dara.) dan Fandi Che Hisham (Helium Si Gas Nadir).
#Superptui! Transit Kaler Magenta #teater #Wan Azli Wan Jusoh
;