'SuperMokh The Musical' dalam pembikinan

Muzaffar Mustapa
Jun 19, 2013 08:26 MYT
Mengangkat kisah hidup tokoh ke pentas teater bukanlah satu perkara baru di Istana Budaya. Sebelum ini, beberapa buah teater muzikal yang berkisar kisah hidup tokoh, baik yang masih hidup mahu pun yang sudah pergi meninggalkan kita diabadikan di pentas berprestij itu.
Antara yang menjadi ingatan pastilah P.Ramlee The Musical yang diterbitkan oleh Enfiniti Vision Media dan Lat Kampong Boy Sebuah Muzikal terbitan Tall Order Productions. Kedua-dua teater tersebut pernah meraih gelaran Teater Muzikal Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian beberapa tahun lalu.
Terbaru, pelakon, penerbit teater muzikal terkenal Hans Issac bakal menerbitkan sebuah teater muzikal yang diinspirasikan dari kisah hidup legenda bola sepak negara, Dato' Mokhtar Dahari yang bakal diberi judul Supermokh The Musical.
Zaman kegemilangan penyarung jersi nombor 10 bola sepak kebangsaan itu bakal dipentaskan di Istana Budaya pada November depan.
Menurut sumber, kebenaran untuk mementaskan kisah hidup Mokhtar telah pun diperolehi daripada isterinya, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi oleh pihak produksi sendiri, Astro AWANI difahamkan fasa pra penerbitan teater tersebut sedang rancak berjalan. Ini bermakna proses menyiapkan nashkah, penghasilan skor muzik dan rekaan set sedang giat dilaksanakan.
Menurut sumber lagi, satu majlis pengumuman rasmi teater muzikal tersebut termasuk nama pengarah, pelakon yang terlibat bakal diadakan tidak lama lagi. Khabarnya lagi, tokoh yang bakal menaungi projek teater muzikal tersebut bukan calang-calang orangnya.
Allahyarham Dato’ Mohamad Mokhtar Dahari dilahirkan pada 13 November 1953 merupakan legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor.
Beliau diberikan gelaran SuperMokh kerana kecemerlangannya menjaringkan banyak gol sepanjang kerjayanya termasuk membantu pasukan Selangor memenangi Piala Malaysia sebanyak 10 kali.
Mokhtar dianugerahkan gelaran Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1976.
Pada tahun 1989, beliau disahkan menghidap penyakit distrofi otot dan telah berlepas ke London bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai 1991 pada jam 8.25 pagi.
#Hans Issac #Istana Budaya #Mokhtar Dahari #supermokh the musical
;