Supermodel Janice Dickinson dedah hidap kanser payudara
Madiha Abdullah
Mac 29, 2016 21:59 MYT
Mac 29, 2016 21:59 MYT
PERAGAWATI antarabangsa, Janice Dickinson, mendedahkan dia menghidap kanser payudara.
Pendedahan itu dibuat Dickinson dalam satu temubual dengan portal antarabangsa, dailymail.com.
Dalam pendedahan itu, Dickinson berkata perkara itu diketahuinya kira-kira dua minggu lalu, selepas melakukan satu pemeriksaan rutin.
Ujian doktor mengesahkan dia menghidap penyakit sangat ditakuti kaum wanita itu, namun tidak mendedahkan pada tahap mana penyakitnya itu.
Ketika menerima berita itu, bekas juri America's Next Top Model itu mengakui masih mampu bertenang, namun mula merasa takut apabila memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.
"Saya jadi sangat takut, bukan untuk diri sendiri tetapi kerana memikirkan bagaimana anak-anak dan tunang saya akan melalui situasi ini," kata Dickinson dalam temuramah itu.
Wanita berusia 61 tahun ini juga berikrar akan melawan penyakit tersebut dan berazam mahu "hidup selama mungkin".
Dickinson, antara peragawati terawal diangkat dengan gelaran supermodel, memulakan kerjaya sekitar tahun 1973, dan pernah mewakili banyak jenama dan rumah fesyen terkemuka, antaranya Revlon, Christian Dior dan Max Factor.