Super Bowl 50: Hampir tersungkur ketika persembahan, Beyonce tetap memukau!
Kohilah Sekaran
Februari 10, 2016 11:48 MYT
Februari 10, 2016 11:48 MYT
ACARA sukan paling besar dan paling dinanti di Amerika Syarikat, Super Bowl 50 sememangnya menjadi perhatian netizen di laman sosial sejak Sabtu lalu.
Selain hashtag SB50 (#SB50) turut menjadi topik perbualan hangat adalah persembahan waktu rehat oleh artis terkenal termasuk Beyonce, Bruno Mars dan Coldplay.
Persembahan waktu rehat yang menggabungkan tiga bintang itu mendapat pujian ramai sebagai persembahan bertaraf lima bintang.
Ini kali kedua Bruno membuat persembahan di acara sukan ini.
Muncul buat kali pertama di pentas Super Bowl, Beyonce tidak mengecewakan. Beyonce tampil dengan single terbaharunya ‘Formation’ mendapat tepukan gemuruh dari ribuan penonton yang membanjiri Levi's Stadium, Santa Clara di California.
Satu ketika sewaktu rutin persembahannya, kumpulan penari Beyonce membuat formasi berbentuk 'X' -- yang merupakan tribut buat aktivis kulit hitam, Malcolm X.
Sikap matang Beyonce di atas pentas terserlah terutamanya apabila segelintir penonton tidak perasan apabila penyanyi berusia 34 tahun itu hampir tersungkur ketika melakukan persembahan.
Dengan gaya santai, Beyonce menyambung persembahannya dan sikap profesionalisme penyanyi itu terus mendapat pujian dari peminat.
Menurut mereka, hanya penyanyi ‘Single Ladies’ itu yang mampu menangani kesilapan dengan cukup yakin dan bersahaja.
Super Bowl 50 menyaksikan pertembungan dua gergasi futbol Amerika, Denver Broncos dan Carolina Panthers pada 8 Februari lalu.
Denver Broncos membawa pulang piala berprestij itu.