Sumpah dan Cinta Matiku jadi taruhan Nidji
Fuad Misbah
Jun 21, 2014 22:37 MYT
Jun 21, 2014 22:37 MYT
Band popular Indonesia, Nidji kembali ke Malaysia untuk melancarkan album kompilasi lagu–lagu ciptaan mereka yang diangkat menjadi runut bunyi filem berjudul The King of Soundtrack.
Lagu-lagu tersebut pernah dijadikan tema untuk pelbagai filem blokbuster Indonesia dari tahun 2006 hingga 2013, antaranya Laskar Pelangi, 5cm dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (TKVDW).
Menurut vokalis band itu Giring, album ini merupakan simbol persahabatan dia dan ahli kumpulan Nidji yang semakin hari semakin akrab dalam mengharungi liku-liku dunia muzik.
“Album ini adalah idea kami. Ia supaya peminat-peminat dapat mendengar semuanya di dalam satu album,” tambahnya di sidang media Pelancaran Album The King of Soundtrack di sini pada Jumaat.
The King of Soundtrack telah dilancarkan di Indonesia pada Mei lalu dan merupakan karya kelima mereka setelah 12 tahun berkecimpung di dalam dunia muzik Indonesia.
Nidji mempertaruhkan dua lagu baru berjudul ‘Sumpah dan Cinta Matiku’ yang baru dinobatkan sebagai runut bunyi filem asli terbaik di Anugerah Muzik Indonesia 2014. Mereka turut mengetengahkan ‘Teroesir (Menunggu Karma)’ sebagai single kedua untuk album terbabit.
Kedua-dua lagu band yang dianggotai oleh Giring (vokalis), Adri (dram), Andro (bass), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Randy (keyboard) itu digunakan sebagai lagu tema untuk filem TKVDW.
Lagu dalam album The King of Soudntrack: Sumpah dan Cinta Matiku (ost TKVDW); Teroesir (Menunggu Karma) (ost TKVDW); Di Atas Awan (ost 5cm); Rahasia Hati (ost 5cm); Hidup Tanpa Cintamu (ost TKVDW); Heaven (ost Heroes); Nelangsa (ost TKVDW); Tuhan Maha Cinta (ost Sang Pencerah); 5 cm (ost 5cm); Shadow (ost Heroes); Tak Akan Pernah Mati (ost 5cm); Laskar Pelangi (ost Laskar Pelangi).