Sumbangan 25 tahun dalam kerjaya seni, Siti Nurhaliza teruja diiktiraf Walk of Fame Adelaide
Faris Danial Razi
Disember 22, 2020 22:28 MYT
Disember 22, 2020 22:28 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akui pengiktirafan yang bakal diabadikan di Walk of Fame, Adelaide, Australia sebagai satu sumbangan selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri seni suara.
Bagi anak jati Kuala Lipis, Pahang ini dia cukup gembira dan terharu sebaik menerima pesanan emel daripada pihak penganjur atas pengiktirafan tersebut.
“Saya sangat gembira dan terharu, berita ini saya dapat menerusi emel, mereka pihak penganjur emel ke syarikat saya.
“Alhamdulillah, ia bermula dengan pada tahun lalu konsert saya di Adelaide dan selepas itu pihak penganjur mencalonkan saya yang telah membuatkan konsert pada tahun lalu itu untuk kategori Walk of Fame.
“Jadi, Alhamdulillah menjadi rezeki sayalah untuk terpahatnya nama Siti Nurhaliza di Walk of Fame di Adelaide,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada masa sama, penyanyi yang berusia 41 tahun itu turut menyatakan bahawa kejayaan itu adalah satu usahanya dalam terus memperkenalkan nama dan budaya Malaysia di persada dunia.
Beliau nyatakan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan sokongan yang diberikan dan sebagai anak seni beliau berpeluang untuk memperkenalkan budaya Malaysia di luar negara.
“Ini salah satu daripada apa yang boleh saya sumbangkan melalui kerjaya seni yang saya telah pun abadikan selama 25 tahun.
“Sebagai duta kecil, membawakan lagu ciptaan Malaysia, lagu-lagu irama Malaysia, dan Alhamdulillah semasa konsert Adelaide Festival Centre, OzAsia Festival berlangsung pada tahun lalu, ia berlangsung dengan begitu baik sekali," ujarnya.
#Siti Nurhaliza
#Pahang
#konsert
#COVID-19
#Walk of Fame
#Adelaide
#Australia
#penyanyi
#tanah air
#selebriti