Sufian Suhaimi tercalon dalam anugerah Herald Global

Astro Awani
Julai 2, 2019 22:43 MYT
Penyanyi Sufian Suhaimi tercalon dalam anugerah berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global yang akan berlangsung bulan depan di ibu negara.
Penyanyi Sufian Suhaimi tercalon dalam sebuah anugerah berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global yang akan berlangsung pada bulan depan di Hotel Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
Jejaka berusia 27 tahun itu tercalon dalam pencalonan ‘Most Admired Leaders of Asia Award 2019’ untuk kategori hiburan.
“Saya terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah untuk Most Admired Leader dalam Asia Award yang dianjurkan oleh Herald Global berpusat di Mumbai, India.
“Pada mulanya mula saya macam tak percaya, ingat itu macam satu scam atau pun spam message yang kita dapat. Tetapi apabila mereka jelaskan semua sekali dengan lebih lanjut, barulah kita yakin,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Berita gembira itu sekali gus membuatkan selebriti kelahiran Johor itu seakan tidak mempercayai apabila dirinya tercalon terutamanya sebagi wakil tunggal negara.
“Saya amat berbesar hati sebenarnya apabila dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah di peringkat antarabangsa.
“Selain mewakili negara, saya harap anugerah ini dapat meletakkan nama Malaysia di atas pentas dunia,” jelasnya.
Anugerah Herald Global diadakan bagi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengukir nama dalam industri pembuatan, rekaan dan keusahawanan.
Justeru, atas kejayaan mereka, ia sekali gus mampu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk meneroka idea baharu, berdepan dengan cabaran yang sukar dan mempunyai aspirasi untuk masa depan yang lebih terjamin.
#antarabangsa #anugerah #Di Matamu #Herald Global #Sufian Suhaimi
;