'Sudah tiada lagi air mata untuk menangis' - Zaiton Sameon kongsi kisah hidup
Keluarga
Februari 18, 2023 08:40 MYT
Februari 18, 2023 08:40 MYT
SUATU ketika dahulu, nama penyanyi Zaiton Sameon sangat gah di persana industri seni tanah air. Namun selepas satu kejadian hitam yang mengorbankan anak tunggalnya iaitu Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu baharu berusia 13 tahun.
Akibat dari insiden itu, penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan ini telah koma dan seterusnya mengalami gangguan emosi yang teruk selain hilang ingatan.
Kini peristiwa hitam tersebut sudah 33 tahun berlalu, Zaiton Sameon mengakui kehidupannya kini seakan seperti lagi-lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini kerana lirik yang dinyanyikan dalam beberapa lagu seolah menggambarkan kisah duka perjalanan hidupnya.
“Saya sangat terharu dengan perhatian orang ramai tetapi tidak boleh menangis. sudah tidak ada air mata lagi untuk menangis.
“Lagu-lagu saya semua ada kena mengena dengan hidup saya kan? Berendam Airmata, Menaruh Harapan dan Diriku Yang Tersingkir,” katanya lagi.
Mengimbau detik hitam kemalangan yang menimpanya kira-kira 33 tahun yang lalu, Zaiton berkata dia tidak pernah meminta mana-mana bantuan daripada persatuan artis.
Sepanjang tempoh itu juga tiada mana-mana pihak yang mengambil tahu mengenai kebajikannya sebagai seorang anak seni.
“Sepatutnya mereka ambil tahulah tentang perkembangan saya kan?
“Kenapa sewaktu saya di hospital masing-masing berebut datang, tetapi selepas saya keluar hospital, tiada sebarang bantuan diberikan,” ujarnya.
Apa yang membuatkan Zaiton lebih sedih apabila ada pihak mendakwa dia sudah tidak boleh menyanyi lagi.
Malah kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh rakan artis seangkatannya.
“Ada individu yang membawa mulut memberitahu penganjur bahawa saya kini sudah tidak boleh menyanyi dan dikatakan ‘lalok’.
“Saya masih lagi boleh menyanyi, mengingati lirik, malah mengaji pun masih boleh membaca dengan tajwid yang betul,” katanya.
Pada penghujung tahun lalu, Zaiton Sameon telah diberikan Kad Pemegang OKU. - Keluarga