'Sudah sebulan bayi tidak bernyawa...' - Hannah Delisha kongsi kisah duka keguguran anak pertama
Media Hiburan
April 1, 2024 13:00 MYT
April 1, 2024 13:00 MYT
PELAKON Hannah Delisha reda dengan takdir Illahi meskipun hasrat untuk menimang cahaya mata pertama tidak kesampaian selepas dia mengalami keguguran baru-baru ini.
Menurut Hanna, sehingga kini, dia masih belum boleh melupakan momen ketika menerima berita kehilangan bayi yang dikandungnya selama 13 minggu.
Katanya lagi, dia baru sahaja mahu mengecapi kegembiraan bergelar ibu, namun keterujaan itu direntap dengan berita duka berkenaan.
“Bayangkan pertama kali nampak bayi kita pada mesin imbasan itu, tentulah rasa sangat teruja.
“Tapi tak sampai beberapa minit, wajah doktor yang menjalankan imbasan berubah.
“Beberapa kali doktor lakukan imbasan, kemudian dia panggil seorang lagi doktor untuk kepastian dan mereka akhirnya sahkan jantung bayi saya berhenti berdegup pada usia kandungan lapan minggu.
“Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu? Baru seminit rasa gembira, tiba-tiba terima berita yang sangat menyedihkan,” katanya yang tidak dapat menahan air mata.
Pelakon asal Singapura itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara Sinar Ramadan anjuran jenama baju Melayu Bulan Bintang dengan kerjasama NGO Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Surau Al Mukmin, Bandar Saujana Putra.
Menurut Hannah, hatinya sebak bukan kerana tidak menerima ketentuan takdir sebaliknya trauma mengenangkan keadaan bayi yang sudah hampir sebulan tidak bernyawa di dalam kandungannya serta kesakitan menjalani prosedur D&C atau cuci rahim.
Kesan kehilangan itu kata Hannah menyebabkan emosinya tidak menentu pada minggu pertama.
“Minggu pertama sangat emosi, tiba-tiba saja saya saya boleh nangis ketika di rumah, suami turut sedih melihat keadaan saya, kalau boleh dja tak mahu saya lalui pengalaman itu lagi.
“Rupanya sebulan bayi saya adalam keadaan tak ada nyawa. Tapi saya tak sedar sebab tak alami sakit perut atau turun darah, itu yang buat saya paling ‘down’.
“Ada yang persoalkan ala keguguran tak sakit macam beranak, tapi orang tak tahu kesan emosi yang ditanggung atas kehilangan itu,” ujarnya lagi.
Menurut Hannah lagi, andai dikurniakan rezeki untuk hamil sekali lagi, tentunya dia amat gembira kerana mereka tidak pernah merancang.
Tetapi katanya dia akan lebih berhati-hati selepas ini demi menjaga kandungan.
“Sebelum ini saya terlalu banyak bergerak dan bekerja pada waktu panjang serta tak cukup tidur serta rehat.
“Selepas ini andai ditakdirkan ada rezeki untuk mengandung lagi, saya akan lebih berjaga-jaga,” katanya.
Pada 17 Mac lalu, Hannah berkongsi khabar duka dirinya keguguran melalui ciapan di pelantar X.
Hannah atau nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura, Imam Shah pada 18 Februari 2021. -Media Hiburan