Sudah 8 bulan, pengalaman rakan-rakan buat Nad Zainal gementar nak bersalin

Gempak
September 29, 2016 12:54 MYT
mengulas mengenai persiapan bergelar ibu, Nad memberitahu banyak menghabiskan masa dengan membaca buku yang berkaitan dengan bayi. - Astro Gempak
PELAKON Nad Zainal akui mula rasa gementar apabila usia kandungannya sudah mencecah lapan bulan.
Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, perasaan itu mula timbul setelah mendengar pengalaman rakan-rakannya melalui proses bersalin.
"Masa mula-mula memang rasa teruja, pengalaman pertamalah katakan.
"Seronok bila lihat perut makin membesar, dapat rasa pergerakan anak, memang macam tak percaya.
"Tapi bila dah makin dekat dengan tarikh bersalin, tiba-tiba rasa gementar tu datang sendiri.
"Lebih-lebih lagi bila dengar cerita kawan-kawan yang pernah mengalami pengalaman menakutkan.
"Perasaan gementar tu tak boleh nak elak lagipun ini pengalaman pertama saya," katanya ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Juvana 3 bertempat di e@Curve Damansara, Isnin lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan bergelar ibu, Nad memberitahu banyak menghabiskan masa dengan membaca buku yang berkaitan dengan bayi.
"Sekarang kandungan dah masuk lapan bulan jadi sebagai persediaan saya banyak membuat rujukan tentang perkara-perkara yang berkaitan tentang bayi.
"Selain itu, ibu dan juga keluarga mertua banyak membantu berikan tips penjagaan bayi.
"Bila banyak buat rujukan barulah kita sedar yang sebenarnya bukan senang untuk menjadi seorang ibu. Besar tanggungjawabnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Nad juga memberitahu dia memilih untuk berpantang di rumahnya sendiri.
"Insha Allah, saya akan berpantang di rumah sendiri nanti.
"Bukan apa, rumah ibu dan juga mertua ada kucing jadi rasanya tidak sesuai untuk saya jalani tempoh berpantang di sana.
"Saya rasa tidak ada masalah untuk saya lagipun rumah kedua-duanya tidaklah begitu jauh.
"Saya harap proses bersalin nanti dipermudahkan, terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesejahteraan saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nad dijangka melahirkan anak lelaki sulungnya pada Oktober depan.
#bersalin #Farah Nadia Zainal Abidin #mengandung #Nad Zainal
;