Suara Siti 'instrumen' terbaik dalam konsert MPO
Syazwan Zakariah
Julai 6, 2013 13:09 MYT
Julai 6, 2013 13:09 MYT
“Walaupun pernah diiringi London Symphony Orchestra semasa konsert saya di Royal Albert Hall pada 2005, pengalaman yang dirasai malam ini sangat berbeza.
“Menyanyi bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) adalah salah satu impian saya sejak sekian lama, apatah lagi di lokasi berprestij di negara sendiri.
“Tambahan pula, mereka yang hadir adalah peminat-peminat setia yang pernah menonton persembahan saya yang lain. Jadi, jangkaan mereka untuk persembahan kali ini pasti juga berbeza,” ujar Datuk Siti Nurhaliza selepas Konsert Siti Nurhaliza In Symphony di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.
Konsert berlangsung selama tiga malam mulai Jumaat dengan harga tiket dalam lingkungan RM150 sehingga RM400.
Merupakan konsert penutup tirai DFP untuk musim 2012/2013, Siti menjadi artis tempatan keempat yang pernah mengadakan konsert solo diiringi lebih 80 pemuzik bertaraf antarabangsa himpunan MPO di bawah pimpinan Kevin Field.
Sebelum ini ialah Tan Sri S.M Salim, Datuk Sheila Majid dan Datuk M. Nasir.
“Memang susah untuk memilih lagu bagi persembahan kali ini. Pada awalnya, saya menyenaraikan lebih 30 lagu, tetapi selepas duduk berbincang dengan konduktor dan penyusun muzik, kami memutuskan untuk 20 lagu terbaik yang sesuai dengan pembawaan orkestra,” sambung Siti.
Antara lagu yang dinyanyikan termasuk Kau Kekasihku, Badarsila, Biarlah Rahsia, Cindai, Ya Maulai dan Lebih Indah.
Siti juga mendendangkan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang dan Tiada Kata Secantik Bahasa (Tan Sri P Ramlee), Senandung Semalam (Alleycats) serta Terasing (Sudirman) sebagai penghargaan kepada idola-idolanya.
Dengan kapasiti dewan yang mampu memuatkan 900 penonton, tepukan gemuruh mengisi setiap ruang DFP setiap kali Siti selesai menyanyi. Pada malam pertama, dia anggun mengenakan dua pasang busana berwarna biru dan ungu hasil rekaan Khoon Hooi.
“Bagi saya sendiri, persiapan dilakukan sejak sebulan lalu menerusi demo susunan baru yang dihantar. Saya sangat-sangat menjaga kesihatan dengan bersenam, tidak minum ais dan kalau terasa hendak sakit, cepat-cepat saya jumpa doktor, apatah lagi baru-baru ini dengan cuaca jerebu.
“Alhamdulillah, suara saya berada dalam keadaan baik dan saya berpuas hati dengan prestasi malam pembukaan,” ujar diva berusia 34 tahun ini.
“Walaupun sudah lebih 15 tahun menjadi artis rakaman, menyanyi dengan orkestra tidak semudah yang dilihat. Saya menarik nafas lega selepas selesai satu-satu lagu, terutamanya yang berentak balada. Ia bukan saja memerlukan kekuatan vokal, tetapi saya harus menjaga tempo agar selari dan harmoni”.
‘Kebimbangan’ Siti itu bagaimanapun tidak terlihat pada wajahnya. Siti kelihatan sangat tenang, malah seperti biasa, dia seakan tersenyum setiap kali menyanyi, walaupun pada lagu yang sukar seperti Purnama Merindu.
Walaupun diiringi pemuzik sehebat MPO, suara Siti adalah ‘instrumen’ terbaik pada malam itu. Dengan vokal yang jelas, bertenaga dan dinamik, dia membuktikan bahawa dia masih antara penyanyi terunggul negara.
Syabas Datuk Siti Nurhaliza.
#Dewan Filharmonik Petronas
#Malaysian Philharmonic Orchestra
#Siti Nurhaliza
#siti nurhaliza in symphony