Suara merdu Siti Nurhaliza nyanyi lagu 'The Power Of Love' pukau David Foster, netizen
Gempak
Ogos 8, 2023 11:55 MYT
Ogos 8, 2023 11:55 MYT
MEMUKAU dan terpesona! Andai ada perkataan yang dapat digambarkan, itulah yang paling sesuai diberikan selepas melihat persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan lagu The Power of Love.
Lebih istimewa lagi, lagu nyanyian asal penyanyi terkenal antarabangsa Celine Dion itu dipersembahkan oleh Siti pada konsert 'Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour 2023' yang berlangsung pada Isnin.
Bersaksikan 3000 penonton di dalam Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, nyanyian Siti itu diiringi muzik yang dimainkan bersama piano oleh komposer muzik terkemuka dunia, David Foster.
Kemerduan Siti tidak hanya memukau penonton malah David sendiri kelihatan terpegun dan menghayati alunan suara penyanyi nombor satu negara itu.
Malah disebabkan persembahan itu juga, nama Siti menjadi perbualan hangat di media sosial yang rata-ratanya menyatakan rasa bangga dan menggelarkannya sebagai Celine Dion Malaysia.
Terdahulu, Siti sebelum ini juga pernah menjadi perhatian netizen kerana membawakan lagu klasik Ttamil berjudul Munbe Vaa pada konsert A. R Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Januari lalu.
Konsert eksklusif Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour 2023 ini anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), menampilkan David Foster bersama barisan penyanyi antarabangsa seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred, Katharine McPhee serta Siti Nurhaliza.
Turut hadir memeriahkan konsert ini adalah Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah Ri-Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Toh Puan Datuk Seri Utama Khadijah Mohd Noor (Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Mukhriz (Putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), Tunku Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra (Puteri kepada Pemangku Raja Perlis), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka), Datuk Sri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi), Hawa Rizwana, Nabil Ahmad, Diana Rafar, Sissy Iman dan Fazli Zainal.