Suara makin sumbang, peminat minta Mariah Carey berehat

Astro Awani
Disember 5, 2014 14:44 MYT
Diva pop ini sememangnya memerlukan rehat yang panjang untuk mengembalikan tenaga serta memulihkan vokalnya. - Gambar fail
Diva pop Mariah Carey seharusnya memanfaatkan cuti panjang sempena kedatangan Hari Krismas nanti.
Ini bukan pesanan biasa, tetapi ia penting demi kebaikan dirinya yang semakin kehilangan anugerah vokal emasnya.
Penyanyi lagu “All I Want For Christmas” itu gagal memuaskan hati para peminatnya pada Rabu lepas yang datang berduyun-duyun ke upacara tradisi menghidupkan lampu pokok Krismas di Rockefeller Center, New York.
Walaupun mempamerkan gaya penampilan glamor, namun ‘kejutan’ sebenar dari Mariah pada acara tersebut datang daripada ’kecacatan’ vokalnya pada banyak bahagian dalam lagu popular musim perayaan Natal tersebut.
Ia kemudian ditambah pula dengan tersebarnya sebuah klip video di media sosial yang memperdengarkan suara sebenar Mariah dalam persembahan itu dengan audio muzik yang diredam.
Klip video yang dibocorkan itu boleh ditonton di laman TMZ.com dan turut disiarkan di USmagazine.com.
Klip berdurasi 4 minit dan 11 saat itu menunjukkan betapa sukarnya Mariah melantunkan suaranya mengikut not-not yang selama ini lazim baginya.
Bagi yang menonton secara langsung di lokasi acara, kecacatan vokal Mariah itu mungkin dapat ditutup kerana persembahannya diiringi kerancakan kumpulan muzik, penari latar cilik dan trek audio lagunya.
Namun, dengan situasi keletihan melampau yang dialami idola tersebut, ramai bersetuju bahawa sudah sampai masanya Mariah berehat panjang untuk memulihkan vokalnya.
Insiden ini bukan kali pertama pendengar dan penonton mempertikaikan tentang kemampuan vokalnya. Pada Oktober lalu, penyanyi tersebut menerima kritikan hebat daripada para peminatnya selepas video konsert jelajah Elusive Chanteuse Show di Jepun turut dibocorkan di media sosial.
Berkenaan persembahan di Rockefeller Center itu, ramai yang mengkritik keupayaan penyanyi tersebut dan namun komen-komen turut diimbangi 'pembelaan' para peminatnya.
Peminat setia dan fanatik Mariah mempertahankan bahawa keadaan vokal penyanyi tersebut adalah kesan daripada masalah kekurangan rehat dan kesakitan pada kotak suaranya.
Kerosakan vokal Mariah Carey dapat dikesan ketika menjayakan persembahan ini di Rockefeller Center, New York. Namun, ia lebih ketara apabila audio suaranya tanpa muzik dibocorkan oleh pihak TMZ.com. - Sumber: YouTube
#audio #Krismas #mariah carey #suara #vokal
;