'Suami tidak pernah mengasari saya' - Isteri pelakon akhirnya bersuara
Astro Awani
Januari 13, 2018 05:30 MYT
Januari 13, 2018 05:30 MYT
ISTERI kepada pelakon dan pengarah filem yang direman empat hari kerana menampar polis akhirnya bersuara.
Menerusi satu kenyataan singkat di Instagram, dia menegaskan suaminya itu tidak pernah mengasarinya.
Malah katanya, dia akan menyokong teguh suaminya selain berusaha memperbaik apa yang diperlukan selain memperkukuh yang sedia ada.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada semua atas sokongan terhadapnya dan suami.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.
Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.
Selain mencederakan anggota polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.
Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, pelakon itu dikatakan menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun, di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana, Petaling Jaya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.